
SEPANG | 5 Okt 26 — Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengakui beberapa jentera Formula 1 mengalami kehilangan kuasa ketika pusingan formasi menjelang perlumbaan di Sepang, susulan gabungan keadaan teknikal dan cuaca yang tidak dijangka.
Menurut FIA, keadaan itu berpunca daripada gabungan kelajuan enjin rendah, tahap cengkaman yang rendah, tetapan pengurusan tenaga untuk cuaca basah serta konfigurasi sektor tertentu di Litar Sepang.
Gabungan faktor berkenaan menyebabkan berlaku kehilangan kuasa yang tidak disengajakan pada beberapa kereta.
FIA berkata Jabatan Teknikalnya kemudian menghapuskan sekatan had tenaga di sektor yang terjejas melalui kemas kini perisian yang diedarkan kepada semua pasukan ketika perlumbaan ditangguhkan akibat hujan lebat.
Langkah itu membolehkan pasukan membuat pelarasan yang diperlukan terhadap unit kuasa masing-masing sebelum perlumbaan dimulakan.
FIA turut mengakui masalah tersebut tidak dikesan ketika sesi ujian mahupun ketika kereta melakukan pusingan menuju ke grid permulaan.
Susulan kejadian itu, FIA bersama pasukan-pasukan F1 dan pengeluar unit kuasa akan menjalankan semakan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar masalah tersebut.
Isu berkenaan menjadi perhatian selepas beberapa jentera dilaporkan berdepan kehilangan kuasa dalam keadaan cuaca basah sebelum perlumbaan di Sepang.
Dalam perlumbaan yang tertangguh lebih 90 minit akibat hujan lebat itu, pelumba Red Bull, Max Verstappen, muncul juara selepas menamatkan 55 pusingan dengan catatan masa 1 jam 47 minit 14.808 saat. Tempat kedua menjadi milik pelumba Mercedes, Kimi Antonelli, manakala juara dunia tujuh kali dari Ferrari, Lewis Hamilton, melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga
Kemeriahan Grand Prix Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) turut dicemari rungutan penonton berhubung kelewatan bas ulang-alik, barisan panjang dan kesukaran mendapatkan pengangkutan keluar dari kawasan litar. Ada penonton mendakwa terpaksa menunggu berjam-jam, manakala sebahagian lain memilih berjalan kaki untuk mendapatkan pengangkutan alternatif.
Masalah turut dikaitkan dengan kesesakan lalu lintas yang menyebabkan bas shuttle sendiri mengambil masa panjang untuk bergerak, selain dakwaan akses e-hailing yang terhad. Rungutan turut meliputi pengurusan barisan, papan tanda dan bekalan air minuman, sedangkan lebih 95,000 tiket telah terjual sebelum acara dan kehadiran keseluruhan dilaporkan melebihi 260,000 penonton.
Susulan aduan hari pertama, SIC memperkemas pengurusan trafik, menambah bas shuttle serta petugas dan menyediakan laluan khas bagi bas. Langkah itu membantu melancarkan pergerakan penonton pada hari berikutnya, namun isu tersebut tetap menimbulkan persoalan sama ada sistem pengangkutan dan parkir Sepang benar-benar bersedia menghadapi acara berskala besar pada masa depan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.