Fadhli Shaari Gesa RCI Siasat Pelaburan KWAP Dalam eFishery

KUALA LUMPUR | 21 Julai 26 – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat eFishery yang dikaitkan dengan skandal penipuan korporat di Indonesia.

Menurut beliau, siasatan bebas itu perlu bagi menjawab persoalan mengenai proses kelulusan pelaburan berjumlah RM163.4 juta, sekali gus memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi yang mengurus dana berkaitan persaraan penjawat awam.

Fadhli berkata, penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Negara bahawa beberapa firma pelaburan antarabangsa turut menjadi mangsa penipuan eFishery tidak seharusnya menamatkan persoalan mengenai akauntabiliti KWAP.

“Jawapan bahawa pelabur antarabangsa turut ditipu tidak seharusnya menjadi noktah kepada perbahasan ini. Sebaliknya, ia sepatutnya menjadi titik permulaan kepada usaha mencari kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walaupun penipuan eFishery didakwa sukar dikesan sehingga melibatkan syarikat pelaburan global seperti Temasek, SoftBank dan Northstar, rakyat tetap berhak mengetahui bagaimana pelaburan itu diluluskan oleh KWAP.

Menurutnya lagi, sebagai institusi yang mengurus dana berkaitan komitmen pencen kerajaan, KWAP sepatutnya mengamalkan piawaian tadbir urus dan pengurusan risiko yang lebih tinggi berbanding syarikat pelaburan swasta.

Mengulas struktur tadbir urus KWAP, beliau berkata keputusan pelaburan bukan dibuat oleh seorang individu, sebaliknya melibatkan pengurusan, Panel Pelaburan dan Lembaga, justeru keberkesanan keseluruhan sistem itu perlu dinilai.

“Persoalannya bukan untuk membuat andaian bahawa Menteri Kewangan atau Kabinet meluluskan pelaburan ini. Tiada bukti awam yang menunjukkan perkara tersebut.

“Namun rakyat berhak mengetahui sejauh mana Kementerian Kewangan dimaklumkan mengenai pelaburan itu mengikut struktur tadbir urus yang berkuat kuasa ketika itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan penubuhan RCI merupakan mekanisme terbaik bagi meneliti keseluruhan kronologi pelaburan, proses due diligence, mekanisme pengurusan risiko serta mengenal pasti sama ada wujud kelemahan sistemik yang perlu diperbaiki.

Katanya, sekiranya semua prosedur dipatuhi dan KWAP benar-benar menjadi mangsa penipuan yang tidak dapat dielakkan, RCI mampu membersihkan nama institusi itu melalui penemuan yang bebas dan berwibawa.

“Sebaliknya, jika terdapat kelemahan dalam proses penilaian, tadbir urus atau pengawasan, rakyat juga berhak mengetahuinya supaya pembaharuan dapat dilaksanakan,” katanya.

Skandal eFishery mula terbongkar pada Disember 2024 selepas audit forensik mendedahkan dakwaan pemalsuan penyata kewangan syarikat. Siasatan kemudian mendapati penipuan itu dipercayai telah berlaku sejak 2018 bagi menarik pelaburan daripada pelabur tempatan dan antarabangsa. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share