
KUALA LUMPUR, 20 DIS 25 — Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang dilihat seolah-olah meletakkan PAS sebagai parti paling layak menerajui kepimpinan nasional disifatkan lebih bersifat retorik yang ditujukan kepada penyokong mereka yang besar, kata penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali.
Menurut Dr Mazlan, secara realistik PAS sememangnya sebuah parti yang besar dengan sokongan akar umbi yang kukuh serta jentera yang tersusun. Namun dari sudut kepimpinan pentadbiran dan pengalaman mengurus negara, beliau berpandangan Bersatu masih berada di hadapan berbanding PAS.
“Mana-mana parti pun akan kata mereka terbaik, itu biasa. Tetapi realitinya, kepimpinan nasional memerlukan pengalaman mentadbir di peringkat Persekutuan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa Bersatu mempunyai kelebihan sejarah dan pengalaman pemerintahan yang lebih jelas, bermula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, diikuti Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika era Perikatan Nasional.
“Selepas itu, Perdana Menteri seterusnya juga datang daripada UMNO, bukan PAS. Ini menunjukkan pola kepimpinan nasional masih berlegar dalam kelompok parti yang pernah lama berada dalam kerajaan,” katanya.
Dr Mazlan menegaskan pandangan itu bukan bermaksud kepimpinan PAS tidak berkeupayaan, namun dari sudut kepakaran dan pengalaman mentadbir negara, Bersatu lebih menyerlah.
Malah, hakikat tersebut diterima PAS sendiri apabila jawatan Pengerusi Perikatan Nasional sehingga kini masih disandang oleh pemimpin Bersatu.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan kenyataan Sanusi lebih bertujuan meyakinkan penyokong dan ahli parti, bukannya menggambarkan kedudukan sebenar dalam struktur kuasa Perikatan Nasional.
“Saya percaya jika Perikatan Nasional menang dan berjaya membentuk kerajaan, PAS akhirnya akan tetap menyerahkan peranan kepimpinan utama kepada Bersatu. Realitinya, bukan seperti yang digambarkan,” katanya.
Terdahulu, ketua pengarah pilihan raya PAS, Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, PAS adalah parti terbaik bukan saja untuk Perikatan Nasional malah negara ini.
Kenyataan itu menyusul selepas pandangan Ahli Parlimen dari Bersatu, Saifuddin Abdullah, kelmarin, bahawa PN perlu mengemukakan pimpinan berkeupayaan mengurus ekonomi ketika negara mungkin bersedia menghadapi PRU16 susulan tempoh Parlimen yang genap tiga tahun. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.