
MELAKA | 14 Julai 26 — Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, YB Dr Mohd Yadzil Yaakub menyatakan sokongan terhadap cadangan mewujudkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, namun mengingatkan kerajaan supaya pelantikan dibuat berasaskan merit dan bukannya menjadi habuan politik.
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Melaka, beliau berkata sokongan pembangkang bukanlah “cek kosong”, sebaliknya disertai beberapa syor bagi memastikan institusi baharu itu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Menurut Yadzil, konsep ADUN lantikan bukan sesuatu yang baharu kerana Malaysia telah lama mengamalkan pelantikan Ahli Dewan Negara (Senator), selain beberapa negeri seperti Pahang, Sabah dan Terengganu turut mempunyai peruntukan sama.
Beliau berkata, kewujudan ADUN lantikan boleh membuka ruang kepada tokoh akademik, profesional, teknokrat, pakar industri dan pemimpin masyarakat menyumbang secara langsung kepada proses penggubalan dasar serta pembangunan negeri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan pelaksanaan institusi itu bergantung kepada individu yang dipilih.
“Rakyat tidak akan menilai pindaan ini berdasarkan teks undang-undang, tetapi berdasarkan nama-nama yang diumumkan selepas ia diluluskan,” katanya sambil mengingatkan kerajaan supaya tidak menjadikan jawatan tersebut sebagai ganjaran politik.
Beliau turut menggesa kerajaan membentangkan implikasi kewangan pelaksanaan ADUN lantikan secara telus serta memastikan setiap pelantikan memberi pulangan kepada negeri melalui kepakaran dan sumbangan kepada dasar awam.
Selain mencadangkan syarat kelayakan yang jelas, beliau turut mengesyorkan jumlah ADUN lantikan dihadkan kepada lima orang, tempoh lantikan hanya satu penggal, pelaksanaan petunjuk prestasi (KPI), serta mengehadkan hak mengundi ADUN lantikan dalam usul yang menentukan kedudukan kerajaan seperti usul percaya atau tidak percaya.
Mengakhiri perbahasan, beliau mengingatkan bahawa institusi ADUN lantikan perlu dilihat sebagai usaha memperkukuh Dewan Undangan Negeri, bukannya ruang mengukuhkan kedudukan politik mana-mana pihak.
“Politik bersifat sementara, tetapi institusi akan kekal jauh lebih lama daripada mana-mana kerajaan,” katanya.
Sementara itu, DAP Melaka dijangka mengumumkan keluar daripada pentadbiran Kerajaan Perpaduan Melaka dalam satu sidang media kira-kira pukul 2 petang ini sejurus selesai pembentangan dan keputusan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Difahamkan, DAP akan mengumumkan peletakan jawatan semua wakilnya dalam pentadbiran negeri sebagai tanda bantahan terhadap pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan pelantikan ADUN lantikan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.