
SEREMBAN | 26 Sep 26 – Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak mencampuri urusan pemerintahan Negeri Sembilan, khususnya perkara berkaitan prerogatif Undang Yang Empat dalam isu penurunan Yang di-Pertuan Besar.
Teguran itu dibuat dalam kenyataan media bersama bertarikh semalam, ketika Anwar sebelum ini menegaskan bahawa sebarang tindakan berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan perlu mengikut Perlembagaan dan undang-undang.
Pada 20 September, Anwar berkata sistem beraja akan gagal sekiranya kedudukan Raja boleh “ditukar ikut bulan” dan menegaskan keputusan berkaitan institusi beraja perlu dibuat mengikut lunas undang-undang serta Perlembagaan.
“Di Negeri Sembilan, orang yang bising-bising, Raja Melayu, Raja Melayu, Raja Melayu, tapi bila keputusan tak selari dengan dia, mahu buang itu Raja Melayu… saya tak boleh terima, kita ikut Perlembagaan dan undang-undang,” kata Anwar.
Beliau pada 18 September turut menegaskan bahawa tindakan menurunkan Raja bukan perkara kecil dan proses perlembagaan perlu dipatuhi sepenuhnya.
Dalam kenyataan bersama itu, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin pula menegaskan bahawa kuasa memilih dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar merupakan prerogatif mereka sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 7, 10 dan 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Mereka turut menegaskan bahawa Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah diturunkan takhta pada 19 April 2026 menurut Perkara 10(1) dan (2) UUTKNS 1959.
Proklamasi berhubung penurunan takhta itu, menurut mereka, telah disempurnakan dengan tandatangan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 3 Ogos 2026 dan tidak memerlukan pewartaan.
“Dalam pada itu bahawa dipertegaskan Tunku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah pun diturunkan takhta menurut Perkara 10 (1) dan (2) UUTKNS 1959 pada 19 April 2026 dan proklamasi mengenainya telah pun disempurnakan dengan tandatangan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan pada 3 Ogos 2026,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin secara khusus mengingatkan Perdana Menteri serta Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya tidak mencampuri urusan pemerintahan negeri, khususnya perkara yang berada di bawah prerogatif mereka.
“Kami ingin mengingatkan YAB Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara supaya tidak mencampuri urusan pemerintahan Negeri Sembilan khususnya prerogatif Kami di bawah Perkara 10 dan Perkara 11 UUTKNS 1959 kerana YAB Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat sedemikian,” menurut kenyataan tersebut.
Mereka turut memberi amaran bahawa sebarang tindakan yang didakwa tidak berperlembagaan, jika diteruskan, boleh menimbulkan persoalan terhadap sumpah Perdana Menteri, Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan serta prinsip federalisme.
“Tindakan yang tidak berperlembagaan sebegitu jika diteruskan merupakan satu perlanggaran sumpah Perdana Menteri di bawah Jadual Keenam di samping pecah amanah terhadap Perkara 71 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan serta melanggari konsep federalisme,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol, Undang Luak Rembau serta Tunku Besar Tampin. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.