
SEREMBAN | 2 Ogos 26 – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin kemenangan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan mencetuskan gelombang baharu yang mampu diteruskan ke negeri-negeri lain.
Beliau berkata, mandat yang diberikan rakyat di Negeri Sembilan menjadi kesinambungan kepada kejayaan kerjasama BN-PN di Johor dan diyakini akan terus berkembang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Mandat dan keputusan ini akan turut membawa satu gelombang bagi kami meneruskan gelombang biru dan biru pekat yang telah bermula di Negeri Johor. Insya-Allah ia akan menular ke Negeri Melaka,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan rasmi PRN Negeri Sembilan, malam tadi.
Menurut Zahid, kemenangan itu turut membawa amanah besar kepada kerajaan negeri baharu untuk menunaikan segala komitmen yang terkandung dalam manifesto.
“Justeru tugas kami bermula daripada malam ini. Setiap aku janji di dalam manifesto insya-Allah mesti dilunaskan demi kepentingan rakyat dan Negeri Sembilan. Manifesto ini bukan aku janji kami kepada rakyat Negeri Sembilan dan akan menjadi panduan utama untuk pentadbiran negeri, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata, sokongan yang diterima daripada pelbagai kaum, latar belakang dan lapisan masyarakat membuktikan rakyat kini mengutamakan kestabilan politik berbanding perbalahan.
“Alhamdulillah sokongan daripada rakyat pelbagai kaum, latar belakang dan lapisan masyarakat termasuk warga keselamatan. Mandat ini membawa mesej yang jelas bahawa rakyat mahukan kestabilan dan kami percaya inilah makna sebenar perpaduan yang dirindui oleh rakyat Negeri Sembilan dan rakyat Malaysia,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.