
KUALA LUMPUR | 18 Sep 26 – Keputusan membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah mendapat sambutan daripada PAS dan UMNO, dengan kedua-dua parti menzahirkan penghargaan terhadap keputusan pengampunan bersyarat berkenaan.
PAS menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, melafazkan kesyukuran kepada Allah SWT serta merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib.
Takiyuddin berkata keputusan itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Menurutnya, perkembangan itu amat bermakna bukan sahaja kepada keluarga Najib, malah kepada rakyat Malaysia yang mengenang dan menghargai jasa serta khidmat bakti bekas Perdana Menteri itu.
PAS turut mendoakan agar Najib diberikan kesihatan yang baik sepanjang menjalani baki hukuman di rumah dan menyatakan keyakinan bahawa beliau masih mampu menyumbang idea, pandangan serta pengalaman demi kebaikan negara.
Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan penghargaan terhadap keputusan berkenaan dan berkata perkembangan itu amat bermakna buat Najib, keluarganya serta seluruh keluarga UMNO.
Dalam kenyataannya, Zahid berkata UMNO mengambil inisiatif melancarkan Tabung Sumbangan bagi membantu meringankan beban Najib melunaskan denda RM50 juta.
Beliau menyeru kepimpinan, ahli dan penyokong UMNO serta mereka yang mahu memberikan sokongan supaya menyumbang secara sukarela menerusi inisiatif yang akan dilaksanakan secara telus, teratur dan mematuhi peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
Zahid turut menyeru ahli UMNO menyambut perkembangan itu dengan rasa syukur, menjaga adab dalam setiap ungkapan serta menghormati segala proses yang ditetapkan.
Keputusan pengampunan bersyarat itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.