
KUALA LUMPUR, 2 Okt 25 — Tentera laut Israel dilaporkan telah memintas sekurang-kurangnya tiga kapal dalam rombongan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menuju ke Gaza bagi mencabar sekatan maritim dan menyampaikan bantuan kemanusiaan.
Menurut laporan AP News, kapal yang dikenali sebagai Alma, Sirius dan Adara menjadi antara yang diboard oleh pasukan komando Israel ketika menghampiri sempadan perairan Palestin. Penumpang yang berada di atas kapal berkenaan dipindahkan ke pelabuhan Ashdod sebelum dijangka dideportasi.
Akhbar The Guardian melaporkan bahawa aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg, turut berada dalam salah satu kapal tersebut dan telah ditahan bersama sukarelawan lain.
Setakat ini, jumlah rasmi keseluruhan sukarelawan yang ditahan masih belum diumumkan, namun pihak flotilla menyatakan ramai aktivis antarabangsa telah dibawa keluar dari kapal dan ditempatkan di bawah kawalan tentera Israel.
Flotilla yang membawa lebih 40 kapal dengan sekitar 500 aktivis dari 44 negara itu berlepas dari Eropah sejak awal September lalu. Misi ini bertujuan menghantar bantuan terus ke Gaza dan menolak cadangan Israel supaya bantuan disalurkan melalui pelabuhan lain.
Israel bagaimanapun menyifatkan konvoi tersebut sebagai provokasi dan menegaskan sekatan lautnya adalah sah mengikut undang-undang antarabangsa. Aktivis flotilla pula menegaskan tindakan Israel adalah pencabulan terhadap hukum laut antarabangsa kerana misi mereka bersifat kemanusiaan.
Sehingga kini, media antarabangsa melaporkan suasana di laut semakin tegang dengan kehadiran kapal perang Israel dan dron yang mengawasi pergerakan flotilla. Pemerhati antarabangsa menjangkakan lebih banyak kapal akan dipintas sekiranya misi itu meneruskan pelayaran ke Gaza. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.