PAS Dedah Punca Putuskan Kerjasama Dengan BERSATU

KUALA LUMPUR | 9 Jun 26 — Seorang wakil PAS menjelaskan keputusan menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dibuat selepas menilai bahawa hubungan tersebut tidak lagi mampu memenuhi matlamat utama parti itu iaitu penyatuan ummah dan kestabilan politik negara.

Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari, berkata keputusan tersebut bukan dibuat berdasarkan sentimen atau kepentingan politik jangka pendek, sebaliknya selepas penelitian mendalam terhadap hala tuju kerjasama yang terjalin sebelum ini.

Menurut beliau, walaupun keputusan itu sukar diterima oleh sesetengah pihak, PAS melihatnya sebagai langkah yang perlu demi kepentingan yang lebih besar.

“Ia bukan sesuatu yang menggembirakan, tetapi ia adalah ubat pahit yang perlu ditelan demi kemaslahatan yang lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan di facebook, pagi ini.

Fadhli menegaskan bahawa agenda paling utama PAS ialah penyatuan ummah, namun usaha tersebut didakwa berdepan halangan apabila BERSATU mengambil pendirian menentang cadangan kemasukan beberapa parti baharu ke dalam Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN sebelum ini, BERSATU tidak bersetuju dengan cadangan membawa masuk parti-parti seperti BERJASA, PEJUANG, IMAN dan PUTRA walaupun kertas cadangan mengenainya telah disediakan.

“Tindakan tersebut jelas merosakkan gagasan penyatuan yang dihasratkan selama ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengakui bahawa beberapa perkembangan yang melibatkan hubungan PAS dan BERSATU di Perlis serta Negeri Sembilan telah memberi kesan kepada semangat dan moral jentera PAS di peringkat akar umbi.

Katanya, rentetan beberapa insiden yang berlaku di kedua-dua negeri itu menyebabkan ramai petugas PAS sukar untuk terus bekerja bersama BERSATU dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Mengulas kedudukan kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional, Fadhli berkata perkara itu akan diuruskan mengikut peruntukan perlembagaan gabungan berkenaan serta melalui saluran yang sewajarnya.

Beliau bagaimanapun memberi bayangan bahawa PAS dan BERSATU tidak mungkin dapat terus berada di bawah platform politik yang sama selepas keputusan menghentikan kerjasama tersebut.

“Sudah tentu PAS dan BERSATU tidak boleh terus berada di bawah payung yang sama berikutan keputusan yang dibuat semalam,” katanya.

Kenyataan itu merupakan penjelasan paling terperinci setakat ini daripada pimpinan PAS berhubung faktor-faktor yang membawa kepada keputusan parti itu menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU, sekali gus membuka lembaran baharu dalam landskap politik pembangkang menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan dan PRU16.

Malam tadi, Presiden PAS mengumumkan hubungan dengan BERSATU dihentikan serta merta dan beliau turut mengumumkan usaha ke arah penjajaran politik baharu menjelan pilihan raya negeri dan Pilihan Raya Umum ke 16. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Kg Sg Baru: Orang hanya pandai cakap, kata Johari

Johari berkata, situasi di Kampung Sungai Baru sebagai ‘nasi sudah jadi bubur’, memandangkan pengambilan tanah bagi projek pembangunan semula telah diwartakan, sebahagian besar penduduk telah berpindah, dan geran-geran telah diberi kepada pemaju.
Read More
Total
0
Share