
KUALA LUMPUR | 26 Jan 26 – Perikatan Nasional (PN) disaran segera melangkah ke hadapan dengan melantik kepimpinan baharu, tanpa terus memujuk Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal sebagai pengerusi, kata Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Malike Brahim.
Menurut beliau, PN kini memerlukan wajah dan ikon baharu yang mampu menyatukan PAS dan BERSATU serta memimpin gabungan itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
“Bagi saya, Tan Sri Muhyiddin tidak perlu dipujuk untuk tarik balik perletakan jawatan dan terus menerajui PN. Majlis Tertinggi PN perlu melantik muka baharu yang diterima secara konsensus oleh PAS dan BERSATU,” katanya.
Dr Malike menegaskan, ikon baharu itu penting bagi membawa penjenamaan semula PN, selain mengukuhkan keyakinan penyokong terhadap kesiapsiagaan gabungan berkenaan menghadapi pertembungan politik nasional akan datang.
Mengulas lanjut, beliau berkata isu perletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN sebenarnya tidak lagi menjadi persoalan utama, sebaliknya hanya menunggu pengesahan secara prosedur melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.
“Jika perletakan jawatan itu ditolak, ia membawa maksud PN masih memerlukan beliau, walaupun terdapat bunyi-bunyi di belakang tabir yang mahu beliau terus kekal,” katanya.
Dr Malike turut mengaitkan ketegangan dalaman PN dengan perkembangan sebelum ini, termasuk isu di Perlis yang menurutnya mencetuskan persepsi wujud usaha menonjolkan solidariti PAS dan keinginan untuk mengambil alih tampuk kepimpinan gabungan.
Dalam masa sama, beliau berpandangan PN tidak boleh menafikan peranan BERSATU, namun juga tidak wajar bergantung sepenuhnya kepada satu parti sahaja.
“PN tidak lemah tanpa BERSATU, tetapi PN juga tidak boleh berjaya dengan hebat tanpa BERSATU. Sebab itu penjenamaan dan jajaran baharu dalam PN mesti digerakkan secara proaktif,” katanya.
Beliau menegaskan, isu kepimpinan PN perlu dinoktahkan segera supaya gabungan itu boleh memberi fokus kepada penyelesaian konflik dalaman, termasuk kes pemecatan dan penggantungan pemimpin, sebelum mengatur gerak kerja menghadapi PRU16.
Baru-baru ini, tersebar naratif yang mengharapkan Muhyiddin menarik semula peletakan jawatannya sebagai pengerusi PN, namun keputusan peletakan jawatan itu telah disahkan ketika Mesyuarat Pimpinan Tertinggi BERSATU, baru-baru ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.