PN Gesa Siasatan Segera Dakwaan Rasuah RM9.5 Juta Libat Ahli Parlimen PKR

KUALA LUMPUR | 26 Mac 26 – Perikatan Nasional (PN) menggesa siasatan segera, bebas dan telus dijalankan terhadap dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen PKR yang dikaitkan dengan usaha “menyelesaikan” isu rangkaian digelar sebagai “mafia korporat”.

Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata, dakwaan oleh seorang ahli perniagaan itu amat membimbangkan kerana melibatkan jumlah wang yang besar serta menimbulkan persoalan serius mengenai tadbir urus korporat, penyalahgunaan pengaruh politik dan integriti institusi negara.

Menurutnya, lebih membimbangkan apabila wang tersebut didakwa diberikan bagi mendapatkan campur tangan politik dalam urusan korporat.

“Sekiranya benar, ia merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip tadbir urus baik dan integriti yang selama ini dilaungkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, situasi itu juga berpotensi mewujudkan persepsi bahawa pengaruh politik digunakan untuk campur tangan dalam urusan korporat serta proses penguatkuasaan undang-undang.

Sehubungan itu, PN menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menjalankan siasatan menyeluruh tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak.

Pada masa sama, katanya, kerajaan khususnya kepimpinan PKR perlu tampil memberikan penjelasan segera kepada rakyat serta bekerjasama penuh dalam siasatan.

“Kegagalan menangani dakwaan ini secara terbuka dan berintegriti hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah serta salah guna kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan identiti individu terlibat wajar ditentukan melalui proses siasatan yang sah bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi pihak tidak bersalah.

Tambahnya, PN akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan tidak teragak-agak untuk membawanya ke Parlimen bagi memastikan prinsip akauntabiliti dan integriti dalam pentadbiran negara terus dipertahankan.

“Integriti bukan sekadar slogan, tetapi menuntut pembuktian melalui ketelusan dan akauntabiliti yang konsisten,” katanya.

Baru-baru ini, ahli perniagaan Vivtor Chin mendedahkan dakwaan seorang ahli parlimen PKR menerima RM9.5 juta berhubung skandal mafia korporat.

Chin mendakwa dia telah memberi RM9.5 juta kepada wakil rakyat PKR selepas ahli parlimen itu berjanji untuk menangani isu yang dihadapinya berkaitan dengan “mafia korporat”.

Semalam Menteri Sumber Manusia R Ramanan menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan dana berjumlah RM9.5 juta daripada Chin, menegaskan bahawa dia tidak pernah bertemu atau mendengar tentang ahli perniagaan itu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share