
SEREMBAN | 9 Oktober 2026 – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menegaskan tiada individu dilantik sebagai penasihatnya, selain menjelaskan urusan portfolio EXCO ketika ini dikendalikan oleh jabatan-jabatan kerajaan bagi memastikan pentadbiran negeri terus berjalan seperti biasa.
Menjawab khabar angin mengenai kewujudan penasihat kepada Menteri Besar, Ismail berkata: “Tak ada siapa pun, tak ada siapa pun jadi penasihat.”
Beliau menjelaskan, ketua-ketua jabatan memainkan peranan memastikan urusan di bawah portfolio EXCO masing-masing tidak terjejas, termasuk pelaksanaan tanggungjawab dan kepentingan jabatan.
“Tak terjejaslah. Sebab kita dah ada juga jabatan-jabatan yang berkaitan. Jadi sekali ketua-ketua jabatan mempunyai peranan untuk memastikan perjalanan kepentingan jabatan dan juga apa yang ada di bawah portfolio EXCO itu berjalan seperti biasa,” katanya dalam sidang media semalam.
Mengenai persiapan belanjawan negeri, Ismail berkata kerajaan negeri akan mengadakan sesi konsultasi pada Oktober dengan melibatkan kesemua 25 ADUN, termasuk beliau sendiri, bagi mendapatkan pandangan wakil rakyat dalam penyediaan belanjawan.
Menurutnya, belanjawan yang disediakan oleh jabatan kerajaan boleh dibawa terus ke Dewan Undangan Negeri (DUN), namun kerajaan juga merancang mengadakan sesi konsultasi bagi membolehkan semua wakil rakyat memberikan pandangan.
“Semua layak memberikan pandangan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail memaklumkan sidang DUN yang dijadualkan pada 16 Oktober ditangguhkan ke penghujung November dan Disember bagi memberi ruang kepada persiapan belanjawan negeri.
Beliau berkata keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah memastikan belanjawan dapat disediakan dengan baik, dengan mengambil kira keperluan negeri dan rakyat.
“Yang pentingnya sekarang ini kita fikirkan pada kerajaan negeri ialah belanjawan itu. Apa yang perlu kita buat untuk negeri dan rakyat ialah belanjawan,” katanya.
Ismail turut menjelaskan kerajaan negeri tidak perlu membentuk dasar baharu setiap tahun kerana dasar sedia ada telah ditetapkan, sebaliknya tumpuan diberikan kepada kelancaran pentadbiran.
Dalam sidang media sama, beliau memaklumkan pelantikan ketua kampung dan jawatankuasa kampung (JKK) turut menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan keperluan masyarakat di peringkat akar umbi terus mendapat perhatian.
Daripada keseluruhan 440 kampung di Negeri Sembilan, pelantikan telah disampaikan bagi 407 kampung, manakala baki 33 kampung masih dalam perbincangan bagi menentukan ketua kampung dan setiausaha JKK.
Menurutnya, JKK memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat luar bandar, termasuk menguruskan pelbagai keperluan dan bantuan kepada penduduk serta anak-anak sekolah.
Beliau menegaskan kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada penyelesaian isu secara berperingkat, dengan memastikan urusan pentadbiran dan kebajikan rakyat terus berjalan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.