Hamzah Desak Kerajaan Dedah Data Subsidi Minyak, Dakwa Rakyat Mula Hilang Kepercayaan

KUALA LUMPUR | 2 Julai 26 – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa kerajaan mendedahkan secara terperinci data penggunaan subsidi petrol bagi menjelaskan rasional pengurangan had subsidi daripada 300 liter kepada 200 liter.

Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya hanya bergantung kepada peratusan penggunaan ketika mempertahankan keputusan tersebut, sebaliknya perlu mendedahkan statistik lengkap mengikut kategori kenderaan.

“Saya mahu kerajaan benar-benar berterus terang. Berapa jumlah kenderaan yang didaftarkan di JPJ, berapa motosikal, berapa kereta dan berapa lori.

“Barulah rakyat boleh melihat berapa peratus sebenar yang menggunakan subsidi minyak ini,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Menurut Hamzah, penggunaan motosikal tidak boleh dijadikan ukuran kerana sebahagian besar penunggang sememangnya tidak menggunakan sehingga 300 liter sebulan.

Sebaliknya, beliau berkata, terdapat golongan seperti peniaga kecil dan individu yang menggunakan kenderaan untuk mencari rezeki, termasuk berniaga di pasar malam, berkemungkinan memerlukan penggunaan petrol yang lebih tinggi.

“Bagi mereka yang berniaga, 200 liter itu tidak mencukupi. Jadi jangan pukul keliling apabila memberi penjelasan,” katanya.

Hamzah turut menggesa kerajaan menjelaskan kaedah penetapan harga petrol, termasuk komponen Mean of Platts Singapore (MOPS) dan Automatic Pricing Mechanism (APM) supaya rakyat memahami asas pengiraan harga di stesen minyak.

Menurut beliau, penjelasan itu penting bagi mengelakkan timbul persepsi bahawa rakyat sebenarnya menanggung beban lebih besar berbanding subsidi yang didakwa diberikan kerajaan.

“Jangan rakyat yang subsidi kerajaan. Jangan kerajaan kata dia banyak beri subsidi, tetapi sebenarnya rakyat membayar lebih daripada harga yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengamalkan prinsip keterbukaan bagi mengatasi defisit kepercayaan antara rakyat dan kerajaan.

Katanya, ketelusan dalam menjelaskan dasar subsidi akan membantu mengembalikan keyakinan rakyat serta mengelakkan polemik berpanjangan mengenai mekanisme penetapan harga bahan api. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share