
KUALA LUMPUR, 8 Jun 25 – Peguam Kanan, Haniff Khatri Abdulla menggesa kerajaan membawa semula isu sempadan Laut Sulawesi ke Mahkamah Keadilan Antrabangsa (ICJ) bagi menentukan kawasan perairan berikutan tiada pemetaan jelas kawasan yang menjadi milik mutlak Malaysia atau Indonesia.
Menurutnya, ini kerana walaupun keputusan ICJ memberikan hak kedaulatan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Malaysia, namun pembahagian kawasan perairan di sekitarnya masih menjadi persoalan.
“Isu sempadan Laut Sulawesi perlu dibawa semula ke Mahkamah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menentukan kawasan perairan kerana tiada pemetaan jelas kawasan yang menjadi milik mutlak Malaysia atau Indonesia.
Tambah Haniff, kerjasama Malaysia dan Indonesia melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Bersama (JDA) menimbulkan persoalan tentang pembahagian hasil dan kedaulatan, khususnya jika sempadan belum dimuktamadkan.
“Jika pulau itu memang milik Malaysia, mengapa Malaysia berkongsi JDA dengan Indonesia di kawasan tersebut? Tidakkah tindakan itu seolah-olah menggadaikan hak kedaulatan Malaysia?,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya kerajaan perlu menjelaskan sama ada ia berlaku di dalam blok-blok milik Malaysia atau di kawasan yang masih belum ditentukan statusnya jika ada pertikaian atau kerjasama dengan Indonesia.
Perkara ini perlu dibawa semula ke ICJ untuk tentukan berapa jauh perairan Malaysia daripada Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan dan kedua-dua pihak kena bersetuju untuk bawa ke ICJ.
Selagi tidak selesai perkara ini, selagi itu kita akan berpotensi mempunyai masalah di masa-masa akan datang. Kerjasama boleh dibuat selepas selesaikan isu sempadan perairan.
Pada 17 Disember 2002, ICJ memutuskan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan adalah milik Malaysia berdasarkan prinsip pentadbiran berkesan oleh pihak British sebelum merdeka.
Bagaimanapun, sempadan perairan di sekitar pulau-pulau tersebut masih belum dimuktamadkan dan terus menjadi isu yang memerlukan rundingan lanjut antara kedua-dua negara.
Haniff Khatri berkata, dalam isu kedaulatan negara, semua keputusan penting sepatutnya dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan perlu mendapat pandangan serta persetujuan negeri yang terlibat seperti Sabah, sekiranya kawasan itu terletak dalam wilayah mereka.
“Isu sebegini juga wajar dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen kerana ia melibatkan kepentingan negara dan bukan sekadar urusan eksekutif,” katanya.” @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.