
KUALA LUMPUR } 15 Apr 26 — Peranan Hamzah Zainudin kini dilihat berpotensi memperkukuh Perikatan Nasional (PN) serta menjadi jambatan politik antara parti-parti dalam gabungan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Penyelaras RESET Wilayah Persekutuan, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, tokoh berkenaan mempunyai pengaruh politik yang signifikan dan mampu memberi nilai tambah kepada kekuatan PN, khususnya dalam menghadapi cabaran politik semasa.
“Keupayaan beliau menjadi penghubung antara parti-parti yang menginginkan perpaduan dan penyatuan ummah amat penting dalam memastikan kestabilan politik yang inklusif. Katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, pengalaman Hamzah sebagai bekas menteri dan Ketua Pembangkang turut dilihat sebagai kelebihan yang boleh membantu memperkukuh kepimpinan serta strategi gabungan pembangkang.
“Beliau juga dilihat berpotensi menjadi jambatan politik yang menghubungkan parti-parti dalam usaha memperkukuh perpaduan dalam PN,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mempertimbangkan penyertaan tokoh berkenaan dalam usaha memperkukuh gabungan pembangkang.
“Pengalaman luas sebagai Ketua Pembangkang serta mantan Menteri memberikan kelebihan kepada beliau untuk menyumbang idea, kepimpinan dan dinamika baharu dalam menghadapi cabaran ekonomi serta isu perpecahan dalam negara.
“Justeru, langkah ini wajar dilihat sebagai strategi ke hadapan dalam memperkukuh kedudukan Perikatan Nasional sebagai alternatif yang diyakini rakyat. Tambah beliau.
Tambahnya, langkah tersebut wajar dilihat dari sudut pengukuhan strategi politik, terutama jika berlaku pilihan raya mengejut yang memerlukan kesiapsiagaan lebih awal.
Dalam masa sama, beliau turut mengaitkan pandangan Dr. Mahathir Mohamad yang sebelum ini menekankan kepentingan penyatuan politik Melayu, yang dilihat oleh sebahagian pihak sebagai membuka ruang kepada peranan tokoh berpengaruh dalam merapatkan perbezaan politik.
Menurut beliau lagi, PAS kini berada dalam kedudukan penting sebagai antara komponen utama yang boleh menentukan hala tuju pengukuhan PN, sama ada melalui keterbukaan kepada penyertaan tokoh baharu atau pendekatan sedia ada. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.