
KUALA LUMPUR | 27 Julai 2026 – Tindakan Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyentuh mengenai calon Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya gabungan PN-BN berjaya membentuk kerajaan negeri mengundang persoalan daripada Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan yang mempersoalkan kedudukan Ketua Pembangkang itu dalam menentukan hal ehwal Barisan Nasional (BN).
Dalam satu ceramah, Sany mempersoalkan sama ada Hamzah mempunyai kuasa untuk menyatakan perkara berkaitan calon Menteri Besar yang sepatutnya diputuskan oleh kepimpinan BN.
“Hamzah Zainuddin ni siapa? Dia ni mursyidul UMNO kau? Dia ni mursyidul BN kau? Mana pergi pimpinan UMNO Barisan Nasional?” katanya.
Beliau dalam ceramahnya mendakwa soal pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan sepatutnya menjadi keputusan pimpinan BN.
Namun sebelum ini, dalam satu rakaman, Hamzah ketika sidang media menjelaskan bahawa keputusan akhir mengenai calon Menteri Besar masih perlu datang daripada pimpinan BN, walaupun beliau mengakui terdapat pandangan dalam PN mengenai individu yang sesuai untuk jawatan tersebut.
“Dan hari ni saya nak maklumkan, walaupun dalam hati saya kami semua mahu supaya ianya datang daripada Barisan Nasional, kita serahkan kepada pimpinan Barisan Nasional untuk mengumumkan,” kata Hamzah.
Kenyataan itu menunjukkan Hamzah tidak membuat pengumuman rasmi pelantikan Menteri Besar, sebaliknya menyerahkan keputusan kepada kepimpinan BN untuk diumumkan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.