
KUALA LUMPUR | 18 Feb 26 – Peguam Haniff Khatri Abdulla membuat laporan polis berhubung tindakan pihak berkuasa menghentikan perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dijadual berlangsung di ibu negara awal bulan ini.
Beliau mendakwa tindakan polis menahan peserta serta menggagalkan himpunan tersebut sebagai tidak wajar dan bertentangan dengan hak berhimpun secara aman seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, laporan itu dibuat terhadap beberapa pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkaitan dalam kerajaan. Haniff turut memaklumkan hasrat untuk memfailkan tindakan sivil bagi mencabar tindakan yang diambil terhadap beliau dan peserta lain.
Perhimpunan yang dirancang itu bertujuan menyuarakan isu berkaitan penguatkuasaan undang-undang tertentu, namun ia dihentikan sebelum sempat berlangsung sepenuhnya. Haniff mendakwa penahanan dibuat walaupun acara belum bermula secara rasmi.
Beliau menegaskan bahawa tindakan undang-undang tersebut bukan bertujuan mencetuskan polemik, sebaliknya untuk menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang serta hak rakyat untuk berhimpun secara aman.
Baru-baru ini, Himpunan GARAH di ibu negara telah dihalang oleh Polis dan pihak berkuasa telah menahan 20 orang aktivis termasuk Haniff Khatri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.