
KUALA LUMPUR, 20 MEI 25 — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan kekecewaannya terhadap sikap kerajaan Persekutuan yang didakwanya gagal memanfaatkan kekayaan sumber asli negara bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Berucap dalam satu sesi dialog sempena pelancaran bukunya di Putrajaya, Dr Mahathir berkata Malaysia mempunyai potensi besar melalui tanah subur, hasil laut serta mineral bernilai tinggi seperti unsur nadir bumi (REE), namun pelaksanaannya masih lembap dan tidak menyeluruh.
“Mineral nadir bumi sangat mahal, tapi jika hanya disimpan dalam tanah, ia tidak mendatangkan apa-apa. Sehingga hari ini, tidak ada seinci pun nadir bumi diproses untuk menjana pendapatan negara,” tegas beliau.
Bekas perdana menteri dua kali itu turut mengkritik kelewatan kerajaan dalam memajukan tanah-tanah terbiar serta pembangunan industri pertanian, sedangkan Malaysia menurutnya berupaya menjadi lebih berdikari tanpa terlalu bergantung kepada pasaran luar.
“Kita duduk atas tanah yang subur. Cucuk apa saja pun tumbuh, tapi kita biarkan saja. Ini aset yang boleh menjadikan kita kaya, tetapi kita tidak buat,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kekangan infrastruktur tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menangguhkan usaha pembangunan sektor sumber asli.
“Kita tak perlukan lebuh raya untuk tanam sayur atau tangkap ikan. Infrastruktur itu penting, tetapi jangan jadikan alasan untuk menangguhkan tindakan,” ujarnya.
Mengulas isu terkini berhubung perlombongan REE, Dr Mahathir berkata kerajaan seharusnya lebih proaktif dalam merangsang minat sektor swasta, bukannya bersikap “berat hati” memberikan kebenaran.
Kenyataannya itu hadir selepas dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang menuduh kerajaan Persekutuan melengah-lengahkan pengeluaran prosedur operasi standard (SOP) perlombongan REE di empat negeri diterajui Perikatan Nasional.
Namun, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menafikan dakwaan tersebut, dengan menjelaskan bahawa SOP berkenaan telah pun diedarkan kepada semua kerajaan negeri sejak Disember 2023. @politiko.my