
KUALA LUMPUR, 24 Mei 25 – Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman memberitahu, Himpunan Melayu Berdaulat boleh diteruskan dan pasukan polis akan bertindak sebagai pemudah cara bagi memastikan perhimpunan berjalan lancar dengan kawalan yang munasabah.
Tambah beliau, bagi tujuan keselamatan dan kawalan, seramai 80 pegawai serta anggota polis akan ditugaskan di sekitar lokasi perhimpunan itu.
“Sebanyak 80 pegawai dan anggota akan ditugaskan untuk membuat pemantauan di sekitar lokasi perhimpunan berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau juga memberitahu, pihak polis juga sudah mengadakan perbincangan dengan pihak penganjur bagi memastikan segala aspek di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 dipatuhi.
Himpunan Melayu Berdaulat dianjurkan gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa, Syed Hassan Syed Ali dan dijangka dihadiri lebih 15,000 peserta.
Perhimpunan itu bertujuan menyuarakan isu-isu membabitkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam, termasuk bantahan terhadap cadangan Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar serta isu tanah rizab Melayu.
Ia dirancang berlangsung di perkarangan pusat beli-belah SOGO, bermula pukul 2.30 petang hari ini. @politiko.my