Hipokrasi Disebalik Slogan ‘Kita Anak Malaysia’, Diguna Lindungi Penolakan Sejarah Melayu – Prof Murad

KUALA LUMPUR | 27 Julai 2026 – Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM), Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican mengkritik penggunaan slogan “Kita… Anak Malaysia”, dengan mendakwa ia sering dijadikan pelindung oleh pihak tertentu yang pada masa sama menolak asas sejarah, bahasa dan identiti Melayu sebagai teras pembinaan negara.

Menurut beliau, slogan tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengaburkan hakikat sejarah Malaysia yang terbina berasaskan tamadun Islam-Melayu, malah mendakwa wujud percanggahan antara laungan perpaduan dengan tindakan yang dianggap menolak institusi dan identiti watan.

Ahmad Murad berkata, “Kita… Anak Malaysia” hanya dilaungkan oleh mereka yang menyokong UEC, mempertahankan sekolah jenis kebangsaan, menolak sekolah satu aliran, membenci Bahasa Melayu, menolak tulisan Jawi serta mempersoalkan sejarah dan institusi Melayu.

“Orang Melayu tidak perlu melaungkan slogan tersebut kerana mereka mengenali pribumi diri dan identiti sendiri. Hanya mereka yang kabur, tetapi mahu meyakinkan keberadaan dan ketaatan mereka kepada negara akan melaungkan slogan itu secara kolektif. Apa yang orang Melayu inginkan ialah penerimaan terhadap kepelbagaian tanpa kebencian terhadap Bahasa Melayu dan sejarah Kepulauan Melayu,” katanya di facebook.

Beliau turut mendakwa wujud hipokrasi apabila slogan “kita rakyat Malaysia” dilaungkan, namun pada masa sama terdapat penolakan terhadap sekolah satu aliran serta usaha memesongkan sejarah pribumi Melayu.

“Saya tegaskan janganlah mereka berselindung di sebalik slogan tersebut. Orang Melayu bukan bermastautin di bumi ini hanya dari semalam,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Murad turut mengingatkan wartawan dan editor supaya memahami sejarah negara secara menyeluruh serta tidak membawa naratif daripada sudut etnik masing-masing ketika melaporkan isu sejarah dan kenegaraan.

Menurut beliau, ramai pengamal media gagal memahami bahawa sejarah negara tidak boleh dipisahkan daripada asas pembentukan tamadun Islam-Melayu, malah mendakwa sejak 2018 naratif sejarah negara telah mengalami perubahan yang dipengaruhi kepentingan ideologi.

“Selepas 2018, apa yang telah ditulis ditulis semula, dipadam, ditokok tambah, malah ada yang tidak lagi ditulis dan disalah tulis. Saya bimbang terhadap sejarah sebagai wacana awam kerana pengetahuan mengenai sejarah negara telah melalui proses pengetnikan selama beberapa dekad,” katanya.

Beliau berkata, media berbahasa Inggeris dan vernakular khususnya tidak boleh menggambarkan sejarah negara daripada kedudukan etnik masing-masing semata-mata atas nama slogan “kita semua rakyat Malaysia”, sebaliknya perlu berlaku adil terhadap asas pembentukan negara.

Ahmad Murad menegaskan sejarah Malaysia bukan milik mana-mana parti politik seperti UMNO, PAS, PKR atau DAP, sebaliknya diasaskan atas tamadun Islam-Melayu yang terbentuk melalui interaksi pelbagai tamadun di rantau ini.

“Sejarah negara diasaskan kepada tamadun Islam-Melayu yang terbina melalui pelbagai interaksi ketamadunan. Kita tidak boleh mengabaikan nilai asas tersebut seolah-olah orang Melayu di Malaysia tidak mempunyai sejarah dan masa lalu. Tanah Air adalah manifestasi sejarah rumpun Melayu di seluruh Kepulauan Melayu,” katanya.

Mengakhiri kenyataannya, beliau mengingatkan agar mana-mana pihak tidak cuba mengurus, mengarah atau mengawal naratif Melayu di Malaysia mahupun di Kepulauan Melayu kerana menurutnya sejarah negara perlu difahami berdasarkan asas pembentukannya, bukannya ditafsir menurut kepentingan ideologi semasa.

Polemik mengenai sejarah Tanah Melayu timbul selepas kontroversi ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor digunakan untuk sebagai label perkauman. Namun ramai pihak tampil berpendangan bahawa kenyataan Sanusi itu diputar belit oleh lawan politik ketika PRN Negeri Sembilan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Mahathir ‘Tembak’ Pemimpin Kejar Jawatan PM

Beliau menekankan bahawa jawatan ketua parti sahaja tidak menjamin seseorang itu boleh menjadi Perdana Menteri. Menurutnya, hanya dengan penyatuan orang Melayu dan sokongan padu terhadap calon tertentu sahaja peluang untuk menang dan menduduki jawatan tertinggi negara menjadi nyata.
Read More
Total
0
Share