
KUALA LUMPUR | 31 Julai 26 – ILHAM Centre menjangkakan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi membentuk kerajaan negeri yang stabil di Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2026 berdasarkan pola sokongan semasa yang direkodkan sepanjang tempoh kajian lapangan dijalankan.
Menurut laporan bertajuk Gelombang Melayu-Islam Meranapkan PH di Negeri Sembilan, gabungan BN-PN dijangka memperoleh sekurang-kurangnya 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) diramalkan memenangi sekurang-kurangnya sembilan kerusi.
ILHAM Centre berkata, landskap politik semasa menunjukkan BN berjaya memanfaatkan kekuatan jentera akar umbi dan pengaruh tradisinya di kawasan majoriti Melayu, manakala PN pula memperoleh kelebihan daripada limpahan sokongan pengundi hasil kerjasama yang lebih tersusun antara kedua-dua gabungan itu.
“Landskap sokongan politik di Negeri Sembilan kini mengalami penyusunan semula yang ketara. BN dilihat berjaya memanfaatkan kelebihan struktur organisasi, penguasaan akar umbi serta sentimen Melayu luar bandar untuk mengukuhkan dominasi mereka di kerusi-kerusi majoriti Melayu,” menurut laporan itu.
Laporan sama turut menyatakan bahawa PH semakin kehilangan pengaruh di kawasan campuran yang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuat gabungan berkenaan.
“Kawasan yang mengandungi komposisi etnik seimbang kini menunjukkan kecenderungan lebih terbuka dan tidak lagi berpihak secara automatik kepada PH.”
Pada masa sama, ILHAM berpandangan bahawa PH kini semakin bergantung kepada kerusi majoriti pengundi Cina yang ditandingi DAP bagi memastikan jumlah kerusi yang dimenangi tidak merosot dengan lebih teruk.
Menurut laporan itu lagi, PN turut memperoleh manfaat besar daripada strategi pembahagian kerusi yang lebih teratur, sekali gus membolehkan gabungan BN-PN mengukuhkan kedudukan mereka di negeri berkenaan.
ILHAM turut mengenal pasti lima kawasan yang dijangka menjadi penentu kepada keputusan akhir pilihan raya, iaitu Chennah, Linggi, Nilai, Repah dan Temiang.
“Jika BN berjaya menawan beberapa kerusi ini, BN-PN berupaya melepasi majoriti dua pertiga majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri,” menurut laporan tersebut.
Kajian berkenaan dilaksanakan mulai 18 Julai hingga 30 Julai lalu dengan melibatkan 1,002 responden daripada semua 36 kawasan DUN di Negeri Sembilan.
Kajian itu menggunakan gabungan kaedah kuantitatif dan kualitatif, termasuk temu bual mendalam, perbincangan kumpulan berfokus serta soal selidik secara bersemuka, dengan kadar ralat pensampelan sebanyak 3.1 peratus pada tahap keyakinan 95 peratus. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.