Ketua Penerangan Armada Kota Tinggi Ikut Jejak Timbalan KB Keluar Parti

KOTA TINGGI | 14 Julai 26 — Gelombang peletakan jawatan dalam BERSATU Bahagian Kota Tinggi dilihat berterusan apabila Ketua Penerangan Armada bahagian itu, Afif Iqbal Hairunishak, mengumumkan peletakan jawatan dan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Perkembangan itu berlaku tidak lama selepas Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Kota Tinggi, Mohd Hasnolhadi Mohd Sebalas, turut mengambil keputusan meninggalkan parti dengan alasan krisis kepimpinan yang berpanjangan.

Dalam satu kenyataan, Afif berkata keputusan itu dibuat selepas melalui tempoh pertimbangan yang panjang serta memohon petunjuk menerusi istikharah.

“Keputusan ini bukanlah suatu keputusan yang mudah, namun saya percaya setiap perjalanan telah ditentukan oleh Allah SWT dengan hikmah yang terbaik,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan, rakan seperjuangan dan seluruh ahli Bersatu yang pernah bersama-sama sepanjang penglibatannya dalam parti.

Menurut Afif, keputusannya dibuat tanpa sebarang perasaan dendam atau kebencian terhadap mana-mana pihak.

“Tiada dendam, tiada kebencian. Yang berlalu biarlah menjadi pengalaman, dan yang mendatang saya serahkan sepenuhnya kepada ketentuan Allah SWT,” katanya.

Setakat ini, Afif tidak menyatakan sebab khusus di sebalik keputusannya meninggalkan BERSATU dan tidak memaklumkan sama ada akan menyertai mana-mana parti politik lain.

Peletakan jawatan beliau menjadikan sekurang-kurangnya dua pemimpin kanan BERSATU Bahagian Kota Tinggi mengumumkan keluar parti dalam tempoh singkat, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai perkembangan terkini di peringkat akar umbi bahagian berkenaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share