
KUALA LUMPUR, 11 Sep 25 — Tiada manusia cukup kejam untuk melakukan kerosakan terhadap rakyat Palestin seperti mana yang dilakukan orang Israel, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata, selepas meranapkan kediaman dengan serangan membunuh wanita, lelaki, kanak-kanak, dan bayi, menggunakan bom dan roket, Israel kini menggunakan senjata kebuluran .
“Makhluk apakah orang Israel ini? Mereka tidak mungkin manusia. Tiada seorang manusia pun sanggup melakukan apa yang mereka lakukan terhadap rakyat Gaza.
“Mereka secara terbuka melakukan pembunuhan beramai-ramai, membunuh lelaki, wanita, kanak-kanak malah bayi.
“Mereka menyebabkan mangsa tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang dimusnahkan oleh bom dan roket mereka. Ribuan telah terbunuh dan ribuan lagi cedera.
“Tetapi kini mereka dengan kejam membiarkan rakyat Gaza mati kebuluran. Mereka melihatnya. Dunia juga dapat melihatnya,” katanya, dalam satu kenyataan.
Dr Mahathir berkata, sedangkan rakyat Palestin dahulu pernah memberikan perlindungan kepada warga Israel.
“Anak-anak lelaki dan perempuan, kaum lelaki dan wanita, bayi yang kini hanya tinggal rangka dengan kulit tegang membalut tulang. Tiada harapan. Mereka sedang mati.
“Kita tahu. Dan mereka juga tahu. Mereka tahu mangsa mereka sedang nazak. Bukan mati serta-merta, tetapi menderita berbulan-bulan, berminggu-minggu, dan berhari-hari sebelum mati,” katanya.
Dr Mahathir juga berkata, Israel langsung tidak mempedulikan kecaman seluruh penduduk dunia dengan kekejaman dilakukannya kerana mereka adalah jelmaan syaitan.
“Seperti syaitan jelmaan, mereka membunuh dan membiarkan orang tidak berdosa mati kebuluran. Tidak ada walau sekelumit rasa belas kasihan.
“Mereka bukan manusia. Mereka adalah raksasa yang langsung tidak peduli walaupun lapan bilion manusia di dunia mengecam mereka,” kata Dr Mahathir lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.