Isu MB Perlis: PAS Sukar Kerjasama Dengan Bersatu Di Perlis Pada Masa Akan Datang, Kata Akar Umbi

KUALA LUMPUR , 26 DIS 25 — PAS memberi bayangan kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) mungkin terjejas sekiranya parti itu gagal mengambil tindakan terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) di Perlis.

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid berkata, ahli dan pendukung PAS di peringkat akar umbi mendesak agar Bersatu mengenakan tindakan disiplin yang tegas sebagaimana PAS melaksanakan tindakan terhadap tiga Adun mereka sebelum ini.

“Ahli dan pendukung PAS mahu lima adun Bersatu dikenakan tindakan. Itu pendapat orang di bawah. Pimpinan tak masuk campur, tapi kita nak tengok apa tindakan Bersatu.

“Kalau mereka tak ambil tindakan, jika tubuh kerajaan baharu atau PRU nanti, jangan harap kita nak bantu mereka,” katanya, kepada politiko.my.

Beliau menegaskan, walaupun pucuk pimpinan mengarahkan kerjasama, sentimen akar umbi kini semakin kritikal.

“PAS dah ambil tindakan. Kita nak tengok orang lain. Kalau nak minta bantuan jentera PAS memang berat. Walaupun pimpinan suruh kerjasama, saya rasa ahli tidak akan bekerjasama,” katanya.

Anas turut membayangkan PAS mungkin menuntut lebih banyak kerusi di Perlis pada PRU akan datang kerana krisis berkenaan telah menjejaskan keyakinan terhadap Bersatu.

“Kita akan tuntut kerusi lebih banyak sebab kita dah tak boleh nak percayakan mereka. Itu sentimen ahli di bawah,” katanya.

Beliau menyifatkan keutuhan gabungan sukar dicapai selagi Bersatu tidak mengambil langkah selari dengan PAS.

“Kalau nak damaikan, Bersatu kena ikut tindakan PAS. Satu rumah tapi seorang ke arah A, seorang ke arah B… macam mana nak harmoni?” katanya.

Menurutnya, mesej itu juga merupakan peringatan kepada wakil rakyat PAS agar tidak membelakangkan keputusan parti.

“Kalau dia nak jatuhkan pimpinan sendiri, tindakan disiplin perlu diambil. Ini amaran kepada wakil rakyat PAS. Jangan belakangkan keputusan parti,” katanya.

Maklumbalas ini antara beberapa reaksi dikalangan pimpinan PAS kawasan yang melihat isu ini boleh bertukar menjadi krisis lebih besar menjelang PRU 16. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share