Jabatan Agama Tiada Bidang Kuasa, Peguam Tegur Ketua Polis

KUALA LUMPUR, 1 DIS 25 — Peguam kanan Haniff Khatri Abdulla menjelaskan bahawa Jabatan Agama tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan dalam kes serbuan kelab di Chow Kit kerana tiada peruntukan undang-undang jenayah syariah berkaitan liwat atau cubaan liwat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurutnya, Enakmen Jenayah Syariah Kuala Lumpur tidak mengandungi peruntukan yang menjadikan perbuatan liwat sebagai kesalahan, menyebabkan apa-apa tindakan syariah berkaitan kes itu tidak dapat dijalankan.

Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun Selangor pernah mempunyai Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang menjenayahkan liwat, peruntukan itu telah dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Kes Iki Putera pada 25 Februari 2021 membatalkan Seksyen 28 kerana ia tidak berperlembagaan. Kes Nil Elin pada 9 Februari 2024 juga merujuk keputusan yang sama,” katanya.

Sehubungan itu, Haniff menegur kenyataan ketua polis yang menyebut Selangor masih mempunyai peruntukan tersebut, menjelaskan bahawa peruntukan itu telah tidak sah sejak 2021.

Haniff kemudian mencadangkan agar polis mengguna pakai strategi serbuan yang lebih rapi melibatkan penyamaran anggota sebelum operasi dijalankan.

“Polis boleh menghantar dua atau tiga anggota sebagai pelanggan untuk melihat sendiri dan mengambil bukti secara langsung sama ada terdapat kegiatan liwat, percubaan liwat atau apa-apa kegiatan lucah melampau,” katanya.

Beliau menambah bahawa strategi lebih tersusun akan membantu polis mengumpulkan bukti lengkap bagi elemen-elemen yang diperlukan di bawah Seksyen 377A, 377B, 377D dan peruntukan berkaitan lain.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 201 individu termasuk 17 penjawat awam yang disyaki terbabit dalam kegiatan tidak bermoral atau songsang ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Chow Kit.

Bagaimanapun, permohonan reman ke atas semua warga tempatan itu ditolak Majistret dengan alasan lewat dikemukakan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share