
KUALA LUMPUR, 30 Mei 25 – Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengharapkan gagasan konsensus nasional baharu akan menjadi kenyataan.
Wakil rakyat Bersatu itu berkata, kerangka gagasan itu dapat memperbaiki semula negara yang dibelenggu pelbagai masalah hari ini.
“Dengan timbunan masalah yang sedang dihadapi dan bagi mendepani cabaran-cabaran masa depan, maka, Hamzah menyatakan hari ini kita memerlukan reset politik yang baru.
“Asasnya ialah kepimpinan yang bukan sahaja diterima majoriti, tetapi juga dihormati semua, iaitu pemimpin yang jujur, inklusif dan adil,” katanya, merujuk cadangan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengemukakan cadangan itu sebelum ini.
“Saranan dan wacana ini perlu diperkayakan sehingga menjadi kenyataan,” kata bekas menteri luar itu lagi.
Menurutnya, gagasan konsensus nasional baharu yang Hamzah cadangkan tidak terhad kepada satu kaum, agama atau wilayah.
Sebaliknya, ia menyatupadukan kelas politik, masyarakat sivil, semua pihak dan terutamanya rakyat.
“Ia hendaklah dibina berdasarkan tiga batu asas, iaitu matlamat yang disepakati, kemakmuran bersama dan kerajaan penyayang,” kata Saifuddin.
Malah, katanya, matlamat yang disepakati, dalam gagasan itu juga bermaksud memandu negara melewati partisanship dan political survivalism serta menolak politik dendam.
“Ia bukannya sekadar retorik, tetapi harus menjadi doktrin nasional,” katanya.
Tegasnya lagi, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina. @politiko.my