NGO Turut Kritik Dasar KPM Kemasukan Awal Tahun 1 Berisiko Jadi “Eksperimen”

KUALA LUMPUR | 23 Jan 26 — Cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun 1 terus menerima kritikan apabila suara akar umbi dan Parlimen kini seiring mempersoalkan risiko dasar itu terhadap kebajikan dan perkembangan kanak-kanak.

Wakil NGO Negarawati, Hajah Bibi Sunita menyifatkan cadangan berkenaan sebagai langkah yang berpotensi menjadikan pendidikan awal kanak-kanak “ruang eksperimen dasar”.

Beliau berkata, cadangan tersebut telah menimbulkan kekeliruan besar dalam kalangan ibu bapa, khususnya berkaitan kesediaan emosi, mental dan sosial kanak-kanak sekiranya dimasukkan ke alam persekolahan formal lebih awal.

Menurut NGO itu, walaupun niat kerajaan memberi fleksibiliti kepada ibu bapa boleh difahami, ketiadaan penerangan terperinci, kajian sokongan dan libat urus menyeluruh menimbulkan persoalan serius terhadap asas dasar tersebut.

“Pendidikan anak-anak adalah amanah negara, bukan ruang eksperimen dasar,” tegas Pengerusi Negarawati Tanahair, Hjh Bibi Sunita Sakandar Khan.

Tekanan terhadap KPM bertambah apabila isu sama dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh Syed Saddiq, yang mengaitkan cadangan kemasukan awal itu dengan pembentukan sistem dua tingkat (double-tier system) dalam sekolah.

Kritikan dari pebagai pihak menandakan tekanan berganda terhadap KPM khususnya dalam konteks kebimbangan dari kalangan ibu bapa, dan implikasi sosial jangka panjang terhadap kanak-kanak.

Negarawati Tanahair menggesa kementerian supaya membentangkan kajian empirikal, mengadakan sesi libat urus nasional bersama ibu bapa, guru dan pakar psikologi pendidikan, serta menyediakan garis panduan seragam bagi mengelakkan kekeliruan antara negeri dan sekolah.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjelaskan bahawa ujian diagnostik yang dirancang bermula sesi persekolahan 2027 itu tidak bersifat wajib, sebaliknya berdasarkan pilihan ibu bapa dan bertujuan menilai kesiapsiagaan murid dari aspek psiko-emosi dan kemahiran asas.

Namun, perbahasan semasa menunjukkan kebimbangan bahawa walaupun bersifat pilihan, dasar tersebut tetap berisiko mencetuskan stigma sosial, jurang baharu dan tekanan emosi dalam ekosistem sekolah, jika dilaksanakan tanpa asas kajian dan garis panduan yang jelas. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share