
KUALA LUMPUR, 14 Ogos 25 — Ketua Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Saifuddin Abdullah memberi amaran agar inkues bagi menyiasat kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir tidak dicampur pihak luar.
Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, semua bukti perlu dibentangkan secara menyeluruh termasuk keterangan saksi dan laporan forensik yang lengkap.
“Saya berharap pihak mahkamah, Peguam Negara, dan semua yang terlibat dapat mengendalikan inkues ini dengan penuh integriti.
“Keputusan inkues mestilah berpaksikan fakta, undang-undang, dan prinsip keadilan, bukannya pengaruh luar atau kepentingan tertentu,” tegasnya, dalam satu kenyataan.
Tambah Saifuddin, inkues itu juga adalah peluang terbaik untuk merungkai fakta dan kedudukan sebenar di sebalik tragedi tersebut.
“Kebenaran ini penting bukan sahaja untuk keluarganya, tetapi juga untuk masyarakat yang mahu melihat sistem keadilan berfungsi dengan telus,” katanya.
Saifuddin menjelaskan, tujuan inkues bukanlah sekadar mencari pihak bersalah, tetapi juga untuk memastikan insiden seperti ini tidak berulang pada masa hadapan.
Tambahnya, hasil inkues boleh menjadi asas kepada pembaikan prosedur siasatan dan keselamatan awam.
“Inkues yang adil dapat memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan dan penguatkuasaan undang-undang.
“Ia juga menghantar mesej jelas bahawa setiap nyawa rakyat mempunyai nilai yang sama di sisi undang-undang,” tambah Saifuddin. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.