
KUALA LUMPUR | 13 Sep 26 – Rakyat mahu melihat penyatuan, kestabilan dan konsensus politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), bukannya pemimpin yang terlalu awal menentukan siapa layak atau tidak layak untuk bekerjasama.
Pandangan itu disuarakan Dr Muzzammil Ismail, yang juga Ketua Pemuda Wawasan Negara negeri Kedah yang menegur UMNO Kedah supaya tidak bersikap angkuh atau melihat usaha penyatuan hanya daripada kaca mata politik negeri atau kepentingan parti semata-mata.
Menurutnya, UMNO Kedah perlu melihat realiti politik semasa termasuk kedudukannya yang kini bukan lagi kerajaan di negeri itu, selain prestasi parti berkenaan di negeri-negeri SG4 yang sepatutnya menjadi ruang untuk bermuhasabah dan bukannya mendabik dada.
“Kalau merasakan diri cukup kuat, bertandinglah secara solo. Formula pilihan raya tetap sama. Bila peti undi dibuka, kadang-kadang pukul 4 petang pun kita sudah boleh nampak siapa menang dan siapa kalah,” katanya.
Dr Muzzammil berkata politik tidak seharusnya dilihat hanya berdasarkan keupayaan memenangi satu kerusi atau satu negeri, sebaliknya kekuatan sedia ada perlu digabungkan bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang lebih kukuh, stabil dan mendapat keyakinan rakyat.
Beliau turut mengingatkan supaya kenyataan yang terlalu awal dan angkuh tidak akhirnya menjadi “peluru” kepada pihak lawan untuk memperlekeh usaha konsensus serta penyatuan yang sedang dibina.
“Kalau benar mahu kembali mendapat kepercayaan rakyat bercakaplah tentang titik persamaan, bukan mencari alasan untuk terus tutup pintu dan berpecah. Politik sudah berubah,” katanya.
Menurut Dr Muzzammil, penyatuan ummah tidak bermaksud semua pihak perlu mempunyai pendirian yang sama, namun kepentingan agama, bangsa dan negara perlu diletakkan lebih tinggi daripada kepentingan parti.
“Jangan kerana ego politik segelintir pemimpin, hasrat rakyat di bawah untuk melihat penyatuan akhirnya terkubur. Biduk lalu, kiambang bertaut. Yang retak kita cantumkan, yang jauh kita dekatkan,” katanya.
Terdahulu, seorang perwakilan UMNO Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyindir kemasukan Wawasan Negara baru-baru ini ke dalam PN, melabelkannya sebagai “parti kucing”.
“Kita akan memulakan minum kopi kita dengan parti PAS tetapi tidak dengan PN. Sebab apa tidak dengan PN? Sebab dalam PN ada “parti kucing”. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.