
KUALA LUMPUR, 3 Sep 25 — Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu tidak harus dicemari usul-usul yang merugikan parti sebaliknya perhimpunan itu harus menjadi pentas menonjolkan keupayaan parti menggantikan kerajaan hari ini.
Ketua Armada Bersatu Teluk Intan Muhammad Munawar berkata, PAT harus menjadi pentas utama menyusun strategi untuk kemenangan organisasi bukannya individu.
“PAT kali ini mesti dijadikan pentas untuk memperkukuh tekad, menyusun strategi, dan membuktikan bahawa Bersatu adalah parti yang benar-benar bersedia menggantikan kerajaan gagal pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jangan kita rosakkan imej parti dengan usul-usul yang hanya menguntungkan individu tertentu tetapi merugikan perjuangan besar kita,” katanya, dalam satu kenyataan.
Tambahnya, ahli Bersatu harus berfikiran terbuka dalam memilih pucuk pimpinan yang cukup berkaliber untuk memastikan parti terus berkembang dengan jayanya.
“Sebagai contoh pemimpin yang kita ada, aura dan kewibawaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Timbalan Presiden Bersatu telah terbukti.
“Beliau mempunyai ‘flying hours’ yang cukup hebat. Beliau disenangi rakan-rakan komponen Perikatan Nasional, dihormati rakyat, dan diyakini mampu menjadi tonggak kekuatan Bersatu untuk membawa gelombang kebangkitan rakyat,” katanya.
“Meskipun begitu, kesetiaan parti kepada Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin katanya tidak berbelah bahagi namun, dalam menghadapi PRU akan datang, kita harus berpijak di bumi nyata demi memastikan kemenangan parti.
“Janganlah ada di antara kita yang memperjuangkan individu tertentu kerana parti ini merupakan hak semua ahli parti. Letaklah kepentingan rakyat dan parti di hadapan,” katanya.
Ketua Armada Hang Tuah Jaya Amsyar Zainal pula berkata, pihaknya menolak usaha pihak tertentu yang mahukan sayap pemuda Bersatu itu mengemukakan usul berkaitan calon perdana menteri ketika PAT hujung minggu ini.
“Dalam keadaan rakyat sedang marah kepada kerajaan, adalah tidak bijak jika Armada Bersatu berbahas mengenai jawatan untuk mana-mana individu dalam perhimpunan terbuka bersifat nasional.
“Rakyat mahu mendengar bagaimana kita akan membantu mereka, bukan kerakusan mahukan jawatan tinggi,” tegasnya.
Menurutnya, lebih baik isu seperti itu diserahkan kepada kebijaksanaan pemimpin tertinggi Perikatan Nasional.
Sebaliknya, persidangan Armada nanti katanya lebih baik digunakan bagi mempamerkan kebolehan anak muda dalam Bersatu dan komitmen kita sebagai penggerak parti untuk terus membantu rakyat, khususnya anak muda. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.