Jangan Jadikan Shuhaily Kambing Hitam, Siasat Sekali Ketirisan Sempadan – Peguam

KUALA LUMPUR | 4 Okt 26 – Jangan jadikan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai ‘kambing hitam’ dalam kontroversi video tular di KLIA, sebaliknya siasat keseluruhan rantaian insiden termasuk kemungkinan ketirisan di pintu masuk negara.

Itu gesaan peguam dan aktivis politik, Rafique Rashid yang menyifatkan persoalan mengenai tindakan Shuhaily perlu dilihat dalam konteks lebih luas, khususnya apabila operasi berkenaan berkait dengan kawalan sempadan negara.

Menurutnya, jika terdapat salah laku oleh Shuhaily, perkara itu wajar disiasat mengikut undang-undang dan tiada sesiapa mengatasi peraturan.

Namun, beliau mempersoalkan tindakan menjadikan klip video yang hanya beberapa saat sebagai ukuran keseluruhan operasi tanpa melihat sebab operasi itu dijalankan.

“Ini bukan operasi di pasar malam. Ini pintu masuk antarabangsa negara,” katanya.

Rafique berkata isu sempadan bukan sekadar soal ketegasan pegawai penguat kuasa, sebaliknya berkait dengan kedaulatan, keselamatan, kegiatan sindiket, pemerdagangan manusia serta kemungkinan berlaku ketirisan penguatkuasaan.

“Kalau seorang ketua penguat kuasa turun sendiri ke lapangan kerana mahu membersihkan ketirisan, perkara itu juga patut diberikan konteks sewajarnya,” katanya.

Bagaimanapun, Rafique menegaskan ketegasan penguat kuasa tetap perlu berada dalam batas undang-undang.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan tindakan dua individu yang kelihatan menggunakan telefon bimbit peribadi untuk merakam ketika prosedur sedang dijalankan.

“Soalnya, kenapa mereka rakam? Untuk tujuan apa? Adakah mereka sebahagian daripada operasi? Adakah SOP membenarkan prosedur sensitif seperti itu dirakam menggunakan telefon peribadi?” katanya.

Menurut Rafique, persoalan itu tidak seharusnya tenggelam hanya kerana perhatian umum tertumpu kepada tindakan Shuhaily yang didakwa menengking dan menyentuh individu terbabit.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana rakaman daripada sistem CCTV KLIA boleh sampai kepada umum.

“Shuhaily kata video yang tular berasal daripada rakaman CCTV KLIA yang dirakam semula menggunakan peranti lain. Kalau begitu, siapa yang ada akses kepada rakaman CCTV di kawasan sensitif itu? Siapa merakamnya semula, dan bagaimana ia boleh tersebar kepada umum?” katanya.

Rafique berkata, siasatan terhadap Shuhaily boleh diteruskan sekiranya terdapat asas, namun ia tidak sepatutnya menyebabkan persoalan mengenai keseluruhan rantaian insiden terlepas daripada perhatian.

“Siasat Shuhaily boleh. Tapi siasat jangan alih isu utama dan elak siasat keseluruhan rantaian insiden itu,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran sekiranya tindakan seperti penggantungan atau pemindahan dikenakan terhadap Shuhaily sebelum keseluruhan isu disiasat.

“Wajarkah nak cuba kenakan tindakan gantung atau pindahkan Shuhaily? Nampak ada helah jika itu dilakukan. Setakat kita tahu, dia buat kerja yang bagus dalam menjaga sempadan,” katanya.

Bagaimanapun, Rafique mengakui sekiranya Shuhaily didapati melampaui batas ketika operasi, perkara itu perlu ditentukan berdasarkan undang-undang dan bukannya persepsi awam.

“Kalau Shuhaily terlalu keras ketika mahu membersihkan sempadan, tentukan mengikut undang-undang sama ada beliau telah melampaui batas,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan supaya perhatian terhadap video tular tidak menyebabkan persoalan lebih besar mengenai kemungkinan ketirisan di sempadan negara terpinggir.

“Jangan sampai akhirnya orang yang cuba bongkar ketirisan jadi satu-satunya orang yang disiasat, sedangkan ketirisan itu sendiri terus hidup,” katanya.

Rafique berkata isu tersebut akhirnya kembali kepada persoalan integriti yang perlu dilihat secara menyeluruh, termasuk siapa yang merakam, siapa yang mempunyai akses kepada rakaman dan bagaimana bahan daripada kawasan sensitif boleh tersebar.

“Sempadan negara bukan pentas media sosial. Ia soal kedaulatan negara. Kalau benar kita mahu cakap tentang integriti, siasat semuanya. Jangan pilih integriti siapa yang kita mahu persoalkan,” katanya.

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Inflasi Meningkat Ogos 25 – DOSM

Kadar inflasi Malaysia meningkat 1.3 peratus pada Ogos 2025, apabila Indeks Harga Pengguna (IHP) naik kepada 134.9 berbanding 133.2 pada bulan sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).
Read More
Total
0
Share