
KUALA LUMPUR | 17 Ogos 26 – Pengerusi Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Saifuddin Abdullah menegaskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tidak wajar dimansuhkan begitu sahaja tanpa digantikan dengan perundangan baharu yang lebih komprehensif.
Beliau berkata, langkah memansuhkan AUKU perlu disertai kerangka undang-undang baharu bagi memastikan tadbir urus institusi pengajian tinggi serta hak dan kebebasan mahasiswa terus mempunyai landasan perundangan yang jelas.
Menurut Saifuddin, persoalan kebebasan mahasiswa tidak semestinya berpunca daripada AUKU semata-mata, sebaliknya turut berkait dengan cara pengurusan universiti menggunakan kuasa yang diberikan.
Beliau berkata, AUKU sendiri sudah beberapa kali dipinda, termasuk pindaan pada 2012 yang memberi ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk terlibat dalam politik.
Saifuddin berkata pindaan Seksyen 15 AUKU pada 2012, membolehkan mahasiswa menyertai kegiatan politik termasuk bertanding dalam pilihan raya.
Namun, katanya, masih terdapat isu berkaitan pengurusan universiti yang terlalu ketat sehingga peruntukan undang-undang digunakan bagi menyekat ruang kebebasan mahasiswa.
Beliau berpandangan kerajaan perlu melihat keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi dan tidak hanya menjadikan pemansuhan AUKU sebagai penyelesaian kepada isu kebebasan mahasiswa.
Katanya, undang-undang baharu yang lebih menyeluruh boleh diwujudkan bagi menggantikan AUKU, dengan mengambil kira keperluan tadbir urus universiti, kebebasan akademik serta hak mahasiswa.
Pendirian itu hadir selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU sepenuhnya dan tidak menggantikannya dengan akta baharu yang bersifat mengongkong mahasiswa.
Dalam perkembangan berkaitan, perbahasan mengenai masa depan AUKU kembali menjadi perhatian selepas kerajaan memberi komitmen untuk memperluas kebebasan mahasiswa dan melakukan perubahan terhadap kerangka perundangan institusi pengajian tinggi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.