
KUALA LUMPUR, 26 Mei 25 – Pertikaian membabitkan syarikat petroleum nasional (Petronas) dan kerajaan negeri Sarawak perlu diselesaikan dalam suasana menang-menang, kata Ahli Parlimen pembangkang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ahli Parlimen Machang itu berkata, sehubungan itu beberapa perkara perlu diperjelaskan dengan terperinci.
“Persoalan utama terletak pada pelaksanaan, apakah maksud sebenar untuk ‘menyelaraskan’ Akta Pembangunan Petroleum (PDA) dengan Ordinan Pengagihan Gas Sarawak (DGO)?
“Jika Petronas tidak lagi memerlukan lesen tetapi perlu memohon pengecualian, bagaimana mekanisme ini akan berfungsi dalam amalan?,” katanya, dalam satu kenyataan.
Ketua hal ehwal luar negara bagi ahli Parlimen Perikatan Nasional itu berkata, dengan bersandarkan semangat muhibah dan kenegaraan yang bijaksana, hasil menang-menang adalah sesuatu yang boleh dicapai.
“Hasil yang mengukuhkan Persekutuan, memajukan Sarawak, dan menjamin masa depan bersama Malaysia.
“Akhirnya, kejayaan inisiatif ini bergantung kepada kemampuan kedua-dua pihak untuk merangka satu perjanjian yang seimbang dan telus yang memenuhi keperluan Sarawak, melindungi peranan nasional Petronas, serta meyakinkan rakyat dan pelabur,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal turut berkata, aspirasi Sarawak untuk mendapatkan kawalan yang lebih besar terhadap sumber aslinya juga adalah sah.
“Dalam masa yang sama, Petronas memainkan peranan strategik dan ekonomi yang amat penting kepada seluruh negara.
“Justeru, sebarang kerangka kerja mestilah kukuh dari segi komersial, undang-undang dan teknikal demi menjamin kelestarian jangka panjang untuk Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan,” tambah Wan Ahmad Fayhsal lagi. @politiko.my