
KUALA LUMPUR | 21 Julai 26 – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan akan terus kekal sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sambil mengingatkan semua parti komponen supaya tidak menggunakan ugutan politik atau saling menyerang sesama sendiri.
Dalam satu kenyataan hari ini, Asyraf berkata Perjanjian Pembentukan Kerajaan Perpaduan yang dimeterai pada 22 November 2022 menetapkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa sehingga PRU atau tamat penggal kerajaan.
Beliau berkata, perjanjian tersebut diwujudkan bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong ketika negara berdepan situasi Parlimen tergantung selepas PRU15, selain memastikan kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat.
Asyraf memberi peringatan tegas kepada semua parti dalam Kerajaan Perpaduan agar menghormati semangat perjanjian yang telah dipersetujui.
“Justeru tidak perlu sebarang bentuk ugutan, tohmahan mahupun kata nista antara sesama parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan walaupun masing-masing membawa haluan berbeza di peringkat Pilihan Raya Negeri di Sabah, Johor mahupun Negeri Sembilan,” katanya.
Kenyataan itu dilihat sebagai mesej bahawa UMNO dan BN tidak bersetuju sekiranya hubungan dalam Kerajaan Perpaduan dijadikan medan tekanan politik, meskipun parti-parti komponen berdepan pertandingan sesama sendiri di beberapa pilihan raya negeri.
Beliau juga menegaskan bahawa sebarang perubahan melibatkan portfolio menteri atau pengerusi agensi kerajaan perlu dibuat berasaskan persetujuan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, selaras dengan semangat kerjasama yang dipersetujui sejak awal pembentukan kerajaan.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan untuk menyerang rakan Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau berkata, mana-mana pihak berkaitan yang melakukan perkara itu akan diminta berundur daripada jawatan yang disandang.
“Kalau dia pegang jawatan daripada persekutuan, dia tak boleh serang, menjadikan ini sebagai satu medan politik menyanggah kerana dia kena jaga disiplin.
Dalam perkembangan yang sama, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim, menegaskan wujud keperluan PH mengkaji semula hubungan dengan BN atas alasan gabungan itu sedang ‘gigih mencatur agenda’.
Beliau menyifatkan tiada kejujuran daripada BN ketika negara memerlukan kestabilan untuk berdepan cabaran global. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.