
KUALA LUMPUR | 22 Jun 26 — Pemerhati politik, Shahbudin Husin berpandangan Perikatan Nasional (PN) akan berdepan lebih banyak masalah sekiranya BERSATU terus kekal sebagai komponen dalam gabungan itu.
Menurut beliau, perkembangan semasa menunjukkan PN yang kini diterajui PAS perlu mempertimbangkan kedudukan BERSATU bagi memastikan gabungan tersebut dapat bergerak dengan lebih stabil menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Sebenarnya PN akan lebih bermasalah jika Bersatu terus ada dalam gabungan itu, selain akan juga menjadikan PAS tidak lagi dipercayai,” katanya di facebook, hari ini.
Tambah beliau, tindakan Presiden PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberhentikan dua pemimpin BERSATU iaitu Datuk Dr Radzi Jidin sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Setiausaha Agung PN sebelum ini dilihat sebagai langkah yang mempunyai kaitan dengan kemungkinan tindakan lebih lanjut terhadap parti itu.
Menurut Shahbudin, jika selepas mesyuarat tergempar PN malam ini tiada sebarang tindakan terhadap BERSATU atau parti itu terus kekal dalam gabungan, ia boleh menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan kepimpinan PAS dalam PN.
Beliau mempersoalkan tujuan perubahan kedudukan dua pemimpin BERSATU dalam PN sekiranya akhirnya tiada langkah susulan terhadap parti tersebut.
Dalam pada itu, Shahbudin turut mendakwa BERSATU ketika ini bukan lagi seperti dahulu, sebaliknya lebih cenderung mengambil pendekatan bermusuh termasuk terhadap rakan gabungan sendiri.
Katanya, konflik dalaman melibatkan kumpulan tertentu dalam BERSATU serta kritikan berterusan terhadap PAS menyebabkan hubungan antara komponen PN semakin tegang.
“Dalam keadaan sekarang, bagaimana PN mampu menjadi harmoni, stabil dan mempunyai harapan lebih baik untuk menang PRU16 akan datang jika BERSATU masih ada sebagai komponennya?” katanya.
Beliau berkata, selepas PAS mengambil peranan utama dalam PN, gabungan itu perlu memperkukuhkan perpaduan dalaman serta mengelakkan sebarang faktor yang boleh menjadi gangguan menjelang pilihan raya akan datang.
Menurutnya, BERSATU juga wajar memahami realiti politik semasa dan mengambil pertimbangan sama ada untuk terus kekal atau membawa diri keluar daripada PN. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.