“Jimat Itu Untuk Rakyat, Privilege Untuk Pemimpin?” — Lagi Kritikan PMX Naik Heli

KUALA LUMPUR | 8 Apr 26 – Isu penggunaan helikopter oleh Perdana Menteri kini berkembang menjadi perdebatan lebih besar apabila ia dilihat mencerminkan jurang ketara antara gaya hidup pemimpin dan realiti rakyat yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup.

Wartawan Veteran, Datuk A. Kadir Jasin berpandangan bahawa walaupun penggunaan kemudahan seperti helikopter VIP adalah hak dan keistimewaan Perdana Menteri, persoalan sebenar terletak pada persepsi dan sensitiviti dalam konteks semasa.

Menurut beliau, ketika rakyat diminta berjimat cermat susulan kenaikan harga bahan api dan tekanan inflasi, tindakan pemimpin menggunakan aset berprofil tinggi memberi gambaran seolah-olah wujud dua standard berbeza dalam pengurusan krisis.

“Ini bukan soal boleh atau tidak, tetapi soal wajar atau tidak dalam keadaan rakyat sedang terhimpit,” katanya di facebook beliau.

Beliau turut menekankan bahawa anggota Kabinet secara umumnya berada dalam kategori pendapatan T20, dengan jumlah imbuhan termasuk elaun mencecah puluhan ribu ringgit sebulan, sekali gus menjadikan mereka kurang terkesan secara langsung dengan kenaikan kos kehidupan.

Situasi ini, menurutnya, mewujudkan jurang realiti yang semakin melebar antara pembuat dasar dan rakyat kebanyakan, khususnya golongan B40 yang paling terdedah kepada kesan kenaikan harga bahan api dan barangan asas.

Dalam masa sama, A. Kadir mengakui langkah kerajaan seperti pemotongan gaji menteri dan keputusan Perdana Menteri tidak mengambil gaji adalah usaha penjimatan yang wajar dihargai. Namun, beliau menyifatkan langkah tersebut lebih bersifat simbolik berbanding impak sebenar terhadap keseluruhan perbelanjaan kerajaan.

“Walaupun ada penjimatan, struktur imbuhan dan kemudahan masih besar. Itu realitinya,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan bahawa dalam sistem demokrasi, segala perbelanjaan rasmi kerajaan akhirnya dibiayai oleh rakyat melalui cukai, sekali gus menuntut tahap akauntabiliti dan kepekaan yang lebih tinggi daripada kepimpinan negara.

Perdebatan ini muncul ketika kerajaan terus menggesa rakyat mengamalkan langkah penjimatan tenaga sebagai respons terhadap ketidaktentuan global, termasuk konflik geopolitik yang memberi kesan kepada harga minyak dunia.

Terdahulu, Ahli Parlimen Machang, Wan Fayhsal turut mengkritik tindakan Perdana Menteri yang menaiki helikopter untuk sekadar melihat lokasi Pualu Batu Putih yang disifatkan tidak perlu hanya untuk tujuan tersebut. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share