
PARLIMEN |30 Jan 26 — Jawatankuasa Pilihan Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia (JKPK) secara rasmi menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan dasar kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun 1, susulan kebimbangan serius terhadap tahap kesiapsiagaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dari segi guru, bilik darjah dan prasarana sokongan.
Pengerusi JKPK, Datuk Saifuddin Abdullah, menegaskan penangguhan bukan bertujuan menolak reformasi pendidikan, sebaliknya untuk mengelakkan pengulangan kesilapan lampau, apabila dasar besar dilaksanakan secara terburu-buru tanpa persediaan mencukupi.
Menurutnya, soal pendidikan melibatkan kebajikan dan masa depan anak-anak, dan tidak wajar dijadikan eksperimen dasar yang berisiko.
“Kita sudahpun kekurangan bilik darjah. Idealnya, semua sekolah berjalan secara satu sesi. Tetapi, kerana bilik darjah tidak mencukupi, maka banyak sekolah berjalan secara dua sesi.
“Sekiranya purata bilik darjah terdapat 35 pelajar, maka dengan penambahan 440,000 ini, lebih 12,500 bilik darjah tambahan diperlukan.
“Soalnya, sempatkah guru dan bilik darjah yang mencukupi disediakan dalam masa sesingkat ini? Kata Saifuddin.
Ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat JKPK pada 27 Januari, menjadikan gesaan penangguhan tersebut bukan sekadar pandangan pembangkang, tetapi pendirian institusi Parlimen yang berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap dasar kerajaan.
JKPK menegaskan penangguhan perlu bagi membolehkan libat urus menyeluruh dengan pihak berkepentingan, termasuk ibu bapa, selain memastikan kesiapsiagaan sebenar sistem pendidikan negara.
“Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia (JKPK) membuat ketetapan supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan perkara ini ke tempoh yang baru. Ini bertujuan untuk KPM mengadakan libat urus yang mendalam dengan JKPK dan pihak-pihak berkepentingan (contohnya ibu bapa) serta memberi peluang kepada KPM supaya benar-benar bersedia dari segi guru, bilik darjah dan prasarana berkaitan. Tegas Saifuddin.
Dengan pendirian rasmi JKPK itu, tekanan kini beralih kepada kerajaan untuk menjelaskan sama ada ia bersedia menilai semula garis masa pelaksanaan dasar berkenaan, atau meneruskan langkah yang dipersoalkan banyak pihak, termasuk Parlimen sendiri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.