
KUALA LUMPUR | 24 Jun 26 – Wartawan veteran, Tan Sri A. Kadir Jasin mengingatkan bahawa Malaysia bukan sebuah masyarakat berkasta dan tidak wajar membenarkan budaya memandang rendah atau membuli rakyat biasa hanya kerana perbezaan kedudukan, pangkat dan status sosial.
Menerusi satu hantaran di Facebook bertajuk Mengata Dulang Paku Serpih, beliau menggunakan perumpamaan ular untuk menggambarkan bagaimana sesetengah individu sering dianggap hebat dan digeruni kerana kedudukan yang tinggi, sedangkan hakikatnya tidak semestinya memiliki kebijaksanaan atau budi pekerti yang sepadan dengan penghormatan yang diterima.
Menurut beliau, masyarakat perlu menilai seseorang berdasarkan nilai dan akhlaknya, bukannya semata-mata kerana darjat atau kedudukan yang disandang.
Dalam hantaran yang sama, A. Kadir turut menyentuh isu penghinaan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang disifatkannya sebagai seorang anak muda yang berjaya meraih kepercayaan rakyat menerusi proses demokrasi.
“Dia jadi Ahli Parlimen bukan kerana dilantik tetapi dipilih oleh pengundi Bandar Diraja Muar. Menghinanya samalah dengan menghina rakyat jelata yang memilihnya,” katanya.
Bekas Penasihat Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri itu turut mengingatkan bahawa sistem negara berasaskan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, di mana wakil rakyat dipilih secara langsung oleh rakyat melalui pilihan raya.
Beliau berkata perbezaan kedudukan, pangkat dan kekayaan bukan ukuran mutlak kemuliaan seseorang, sebaliknya merupakan ujian yang ditentukan oleh Allah SWT.
Menguatkan hujahnya, A. Kadir memetik Surah Al-An’am ayat 165 yang menjelaskan bahawa manusia diberikan darjat yang berbeza sebagai ujian terhadap nikmat yang dikurniakan, serta Surah Al-Hujurat ayat 13 yang menegaskan bahawa ukuran kemuliaan seseorang di sisi Allah adalah ketakwaan, bukannya keturunan, bangsa atau kekayaan.
Beliau turut mengingatkan golongan yang berada di kedudukan tinggi supaya tidak menggunakan keistimewaan yang dimiliki untuk memandang rendah atau membuli orang lain.
“Yang berada di tempat tinggi dengan keistimewaan undang-undang dan adat resam janganlah pandang hina dan buli yang totok macam sering ditonjolkan oleh filem Bollywood,” katanya.
A. Kadir menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh kembali kepada budaya kasta yang mengangkat sesetengah golongan sebagai lebih mulia daripada rakyat biasa.
“Kita bukan lagi masyarakat berkasta,” tegasnya.
Terdahulu, tular satu berita berkaitan komen Tunku Mahkota Ismail yang dilaporkan berkata bahawa baginda lebih menggemari pemimpin yang melaksanakan tanggungjawab mereka dan menunjukkan keprihatinan yang tulen terhadap kebajikan rakyat.
“Sebelum membuat sebarang keputusan, buat penilaian terlebih dahulu kerana kita mempunyai ramai golongan ‘Hollywood’ dalam kalangan kita. Yang paling ‘Hollywood’ sekali adalah yang berada di Muar,” titah baginda, tanpa menyebut nama Syed Saddiq. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.