Tiada Arahan Tandatangan Akuan Bersumpah – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 27 DIS 25 — Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa parti itu menghormati sepenuhnya kuasa budi bicara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dalam urusan pelantikan Menteri Besar Perlis.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Muhyiddin berkata BERSATU mengikuti rapat perkembangan krisis politik di Perlis susulan peletakan jawatan YB Tuan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa BERSATU mengeluarkan sebarang arahan kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Perlis untuk menandatangani Akuan Bersumpah (SD) berhubung isu berkenaan.

“Saya ingin menegaskan bahawa tiada arahan dikeluarkan kepada ADUN-ADUN BERSATU di Perlis untuk menandatangani sebarang Akuan Berkanun,” menurut kenyataan tersebut.

Muhyiddin menjelaskan bahawa BERSATU hanya akan mengemukakan nama calon Menteri Besar Perlis daripada parti itu selepas dititahkan oleh Istana Perlis untuk berbuat demikian.

Menurut beliau, BERSATU juga akan mendengar penjelasan daripada ADUN-ADUN BERSATU di Perlis bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kedudukan isu tersebut.

Dalam masa sama, Muhyiddin menegaskan Perikatan Nasional (PN) menghormati kedudukan PAS sebagai parti yang memimpin PN di Negeri Perlis, selain menaruh keyakinan bahawa parti-parti komponen PN mempunyai kaedah tersendiri untuk menangani sebarang isu secara berhemah demi menjamin kestabilan pentadbiran negeri.

“Saya berharap isu berkaitan kedudukan Menteri Besar Perlis dapat diselesaikan dalam semangat kekeluargaan besar Perikatan Nasional,” katanya.

Kenyataan itu turut menekankan komitmen BERSATU dan PN untuk memastikan kelangsungan pentadbiran negeri Perlis terus terpelihara demi kepentingan rakyat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share