
KUALA LUMPUR | 15 Sep 26 — Ahli Parti Wawasan Bahagian Selayang, Vasantha Kumar Krishnan menggesa Ketua UMNO Sepang, Noorazli Said supaya memahami sensitiviti agama dan kaum dalam masyarakat berbilang latar belakang.
Gesaan itu susulan ucapan Noorazli dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang mengaitkan cerita “Father and Sister”, yang menurut Vasantha memberi gambaran negatif terhadap UMNO.
Beliau menyifatkan penggunaan pentas PAU untuk mengutuk atau mereka cerita yang tidak berkaitan dengan politik UMNO demi kepentingan politik sebagai sesuatu yang wajar dikecam.
“Saya memperingatkan para perwakilan UMNO jangan sekali-kali menggunakan agama orang lain untuk mencapai politik ‘short-cut’ demi meraih sokongan orang Melayu-Islam bagi memenangi pilihan raya semata-mata,” katanya.
Vasantha turut menggesa Noorazli membuat permohonan maaf secara terbuka dengan segera, sambil mengambil contoh tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah memohon maaf selepas tersilap menggunakan istilah terhadap komuniti Punjabi Malaysia ketika lawatan ke sebuah gurdwara.
Dalam pada itu, beliau mendakwa PAU kali ini lebih banyak membincangkan soal kerusi pilihan raya, mengkritik rakan politik dalam PN serta menyentuh agama lain berbanding dasar dan masa depan rakyat serta negara.
Vasantha juga mempersoalkan komitmen UMNO terhadap konsep “Penyatuan Ummah” apabila parti itu, menurutnya, turut menolak kerjasama dengan parti Melayu lain termasuk Wawasan Negara dan Pejuang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.