“Kami Tak Lawan Presiden, Cuma Nak Selamatkan Parti” – MP Pertahan Surat Teguran

KUALA LUMPUR, 3 NOV 25 – Beberapa Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan bahawa tindakan mereka menandatangani surat kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bukanlah tanda penderhakaan, sebaliknya satu usaha membetulkan hala tuju parti yang kini berdepan kemelut dalaman.

Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor, berkata surat itu diserahkan dengan niat baik agar Muhyiddin mempertimbangkan langkah terbaik untuk memulihkan perpaduan dalam parti.

“Kami bukan nak buang presiden atau benci dia. Tapi kami rasa tak betul bila pergolakan dalam parti sampai jadi pecat-memecat, sedangkan perkara itu boleh dibincang,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Khlir turut mempersoalkan tindakan berat sebelah terhadap ahli tertentu, dengan menyindir keputusan parti yang tidak mengambil tindakan terhadap enam Ahli Parlimen yang mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kenapa yang sokong kerajaan tak dibuang, tapi dua orang yang bagi pandangan pula dikenakan tindakan?” soalnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, menegaskan surat berkenaan mencerminkan suara akar umbi dan semangat solidariti dalam Bersatu.

“Kami menegakkan kebenaran dan mencari keadilan demi menyelamatkan Bersatu serta memperkasa Perikatan Nasional (PN). Surat itu ditandatangani 16 orang, disokong tiga lagi — jadi 19 kesemuanya,” katanya.

Menurut beliau, matlamat utama parti kini adalah memastikan keutuhan Bersatu dalam usaha menjatuhkan Perdana Menteri ke-10 dan memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share