Kata UMNO Tikam Kawan, Tapi UMNO Juga Dicari, Kata Akmal

KUALA LUMPUR | 19 Ogos 26 – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh menyifatkan pendirian pihak yang mengkritik UMNO sebagai parti yang “bermuka-muka” dan “menikam kawan”, tetapi pada masa sama mencari kerjasama parti itu sebagai sesuatu yang bercanggah.

Akmal berkata, perkara itu menimbulkan persoalan apabila UMNO tetap menjadi pilihan untuk bekerjasama selepas dilemparkan pelbagai tuduhan.

“Kata UMNO bermuka-muka.

“Kata UMNO tikam kawan.

“Tapi UMNO juga yang dicari,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Mengulas kemungkinan kerjasama BN-PH di Melaka, Akmal mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak akan bertanding sekiranya kedua-dua gabungan itu bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya, pendirian itu pernah disuarakan ketika menjadi tetamu podcast KS dan dibuat atas prinsip bahawa jawatan wakil rakyat bukan perkara yang perlu dipertahankan jika bertentangan dengan pendirian politiknya.

“Saya ulang pendirian saya semasa dalam podcast KS iaitu jika BN-PH di Melaka, saya tidak akan bertanding sebab saya lebih rela pertahankan prinsip saya dari sebuah jawatan wakil rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Akmal yakin UMNO dan BN mampu mengukuhkan kedudukan di Melaka berdasarkan perkembangan politik di negeri lain.

“Insya-Allah Melaka kita birukan seperti Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama politik di Melaka semakin mendapat perhatian selepas keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan yang menyaksikan BN mencatat kemenangan besar.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata bahawa PH terbuka mengadakan perbincangan untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Saifuddin turut menyatakan akan berbincang dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh, sekembalinya beliau ke tanah air. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share