Tiada Permohonan, Masjid Rusila Nafi Beri Kebenaran Latihan APMM

KUALA LUMPUR, 23 Okt 25 — Pengurusan Masjid Rusila di Marang menafikan pernah menerima sebarang permohonan atau memberikan kebenaran kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk mengadakan latihan di kawasan masjid tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Rusila, Mohd Azri Abdul Aziz, berkata pihaknya tidak pernah menerima apa-apa makluman, sama ada secara bertulis atau lisan, mengenai kehadiran pasukan Maritim di masjid berkenaan pada 19 September lalu.

“Kami tidak menerima sebarang surat atau panggilan rasmi daripada pihak Maritim Malaysia untuk menggunakan kawasan masjid bagi apa-apa bentuk latihan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, selepas berita berhubung kehadiran pasukan Maritim di kawasan masjid tular, pihak pengurusan segera membuat laporan polis bagi mendapatkan penjelasan berhubung kejadian tersebut.

Mohd Azri menjelaskan, pihak masjid kemudian hanya menerima permohonan maaf secara lisan daripada seorang pegawai Maritim melalui panggilan telefon selepas laporan polis dibuat.

“Kami juga telah mendapatkan pengesahan daripada pihak polis, dan dimaklumkan bahawa tiada rekod permohonan rasmi untuk sebarang aktiviti latihan pada tarikh berkenaan,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan cara agensi terbabit menangani isu itu yang disifatkan sebagai tidak profesional dan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Sebelum ini, Maritim Malaysia dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa premis Masjid Rusila hanya digunakan sebagai tempat berehat dan beriktikaf oleh pelatih sebelum tugasan, dan mendakwa pihak pengurusan masjid telah dimaklumkan terlebih dahulu.

Namun penjelasan itu dinafikan oleh pengurusan masjid, yang menegaskan bahawa tiada makluman atau kebenaran diberikan untuk sebarang aktiviti berkaitan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share