
KUALA LUMPUR 16 Julai 26– Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) hari ini meluluskan rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan serta mengesahkan penggunaan lambang rasmi Perikatan Nasional oleh semua calon gabungan itu.
Keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang dipengerusikan oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, pada Khamis.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, rundingan pembahagian kerusi akan melibatkan parti-parti komponen Perikatan Nasional iaitu PAS, Parti Makkal Sakti Malaysia (MIPP), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (WAWASAN).
Selain itu, Majlis Tertinggi turut bersetuju membenarkan semua calon Perikatan Nasional yang bertanding dalam PRN Negeri Sembilan menggunakan lambang rasmi gabungan itu sebagaimana yang telah dipersetujui.
Ahmad Samsuri berkata, keputusan tersebut selaras dengan kenyataan Presiden BERSATU bertarikh 15 Julai 2026 yang memaklumkan bahawa segala proses perbincangan dan libat urus di peringkat awal telah dijalankan dengan pengetahuan serta persetujuan beliau selaku Pengerusi Perikatan Nasional.
Beliau turut menegaskan bahawa semua proses berkenaan telah dimuktamadkan dan diluluskan secara rasmi oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional dalam mesyuarat yang berlangsung hari ini.
Menurut beliau, penyertaan calon-calon Perikatan Nasional dalam PRN Negeri Sembilan bertujuan membela kebajikan rakyat, mengangkat agenda pembangunan negeri serta mempertahankan keharmonian masyarakat majmuk di Negeri Sembilan dan Malaysia secara keseluruhannya.
Pengumuman calon-calon Perikatan Nasional bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan dijangka dibuat dalam masa terdekat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.