
KUALA LUMPUR, 30 APR 25 – Tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin mencadangkan nama geografi Semenanjung Malaysia digugurkan dan diganti dengan terma Semenanjung Tanah Melayu dalam Perlembagaan.
Katanya, sebutan Semenanjung Malaysia tidak tepat, kerana ia merujuk kepada unit geografi sedangkan Sarawak dan Sabah disebut mengikut identiti perlembagaan dan politik.
“Kalau kita sebut Tanah Melayu sebagai Semenanjung Malaysia, maka kita kena sebut Sarawak dan Sabah mengikut geografinya sebagai sebahagian daripada sebuah pulau. Maka jadilah dua buah wilayah itu Kepulauan Malaysia (Insular Malaysia) atau Malaysia Borneo,” katanya, melalui hantaran di media sosial.
Kadir berkata, nama Tanah Melayu lama kelamaan akan dilupakan sekiranya tidak digunakan.
“Bila orang ramai lupa, pada masa itulah orang yang benci kepada nama itu berpeluang melenyapkannya.
“Jadi, kita berhentilah guna nama geografi Semenanjung Malaysia dan balik kepada nama perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu atau ringkasnya Tanah Melayu,” katanya.
Beliau merujuk kepada cadangan wartawan sukan, Johnson Fernandez mencadangkan namanya ditukar atas alasan “keretapi” merujuk kepada kereta api lama yang tidak digunakan lagi dan negara sendiri sudah tidak dikenali sebagai Tanah Melayu.
Pihak pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagaimanapun telah menolak cadangan itu.
“Saya setuju dengan tindakan mereka, dengan izin, saya hendak cadangkan supaya Keretapi Tanah Melayu Berhad dijenamakan sebagai KTM saja. Semua kereta api dan aset KTMB ditulis dengan huruf KTM. Perkataan berhad digunakan hanya untuk nama korporat,” katanya lagi. @politiko.my