
KUALA LUMPUR, 18 JUN 25 – Perikatan Nasional (PN) disaran mengemukakan calon perdana menteri gabungan itu sekiranya benar-benar berhasrat mahu menggantikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Bersih.
Gabungan NGO menuntut pilihan raya adil dan bersih itu menjelaskan langkah menamakan calon perdana menteri disokong gabungan pembangkang itu perlu dilakukan sebelum sebarang usaha mendesak Anwar melepaskan kedudukan itu.
“Pembangkang perlu jelas siapa akan jadi perdana menteri dan dapat sokongan jika Anwar turun atau letak jawatan,” kata Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz, seperti laporan FMT.
Jelasnya, pembangkang itu perlu menggunakan saluran Parlimen dengan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Anwar, selain penganjuran demonstrasi jalanan.
Beliau berkata demikian merujuk pengumuman Pemuda PAS yang menganjurkan ‘Himpunan Turun Anwar’ pada 26 Julai ini yang menggantikan himpunan bantahan terhadap Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Faisal berkata, Bersih mengaharapkan kerajaan dapat melancarkan penganjuran perhimpunan terbabit.
Menurutnya berhimpun secara aman adalah hak asasi demokrasi dan perlu dipelihara dan dihormati walaupun tuntutan itu tidak disenangi kerajaan.
“Polis perlu bantu memudahkan himpunan selari dengan kenyataan perdana menteri yang benarkan untuk berhimpun dan penguatkuasaan moratorium siasatan jika berhimpun secara aman,” katanya. @sumber