
KUALA LUMPUR, 1 Sep 25 – Kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam merencana naratif politik tanah air, khususnya bagi mencapai aspirasi menerajui kerajaan, amat bergantung kepada hubungan baik serta restu daripada rakan sekutu terbesarnya, PAS.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Malike Brahim, berkata tanpa dukungan PAS, kekuatan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) akan terbatas untuk membuka peluang yang lebih luas ke arah jawatan perdana menteri.
“Bersatu masih dilihat sebagai peneraju PN, namun hakikatnya kerusi PAS lebih besar. Menariknya, PAS tidak meletakkan jawatan perdana menteri sebagai keutamaan, sebaliknya lebih fokus menambah pengaruh di negeri-negeri seperti Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan,” jelasnya.
Menurut beliau, landskap politik juga menunjukkan PKR sentiasa membuka ruang untuk bekerjasama dengan PAS. Jika senario itu berlaku, gabungan PKR-PAS berpotensi menjadi lebih kukuh dan memberi kesan besar kepada politik negara.
Katanya lagi, pemilihan PAS yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat tidak dijangka membawa perubahan ketara, manakala Bersatu pula masih menunggu perkembangan kepimpinan dalaman, termasuk pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mampu menentukan hala tuju baharu PN.
“Dalam Bersatu pun menunggu pengunduran TSMY kerana kiblat baru boleh menentukan momentum PN yang lebih dinamik”, katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.