
KUALA LUMPUR, 3 DIS 25 — Ketua Bersekutu Bangi, Vasantha Kumar Krishnan menegaskan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menjelaskan kenyataannya berhubung kenyataan MIC, bukannya mengelirukan rakyat dengan dakwaan yang bercanggah dengan fakta.
Menurut Vasantha, dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu bahawa MIC pernah menghantar permohonan rasmi untuk menyertai PN sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah adalah tidak tepat dan memberi gambaran salah terhadap keputusan politik parti tersebut.
Beliau merujuk penjelasan Setiausaha Agung MIC, Datuk S. Ananthan, yang menegaskan bahawa surat yang dihantar kepada PN bukanlah permohonan keahlian, sebaliknya hanya permintaan maklumat awal berkaitan kedudukan, syarat dan proses sekiranya MIC mempertimbangkan sebarang bentuk kerjasama.
“Ini adalah prosedur biasa sebelum apa-apa keputusan besar dibuat oleh mana-mana parti. Menggambarkan ia sebagai ‘permohonan rasmi’ adalah bercanggah dengan fakta dan menimbulkan persoalan mengenai niat sebenar beliau membuat dakwaan sedemikian,” katanya.
Surat itu dihantar empat hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MIC untuk mendapatkan gambaran jelas tentang kedudukan MIC dalam PN, bentuk kerjasama, proses serta komitmen politik, susulan jemputan pimpinan PAS termasuk Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man. MIC turut meminta maklumat mengenai komitmen PN terhadap isu masyarakat India sebelum membuat keputusan.
Menurutnya lagi, kenyataan bercanggah seperti ini hanya memperlihatkan kelemahan kepimpinan PN, bukan kekuatan yang boleh meyakinkan mana-mana parti termasuk MIC.
“Sekiranya PN sendiri berada dalam keadaan tidak stabil dan gagal menunjukkan hala tuju kepimpinan yang kukuh, bagaimana gabungan itu boleh menawarkan ruang kerjasama yang meyakinkan kepada parti lain?”
Beliau menasihatkan PN melakukan penilaian dalaman dan mempertimbangkan kepimpinan baharu yang lebih stabil, berintegriti dan diterima rakyat.
Beliau juga mengemukakan dua persoalan untuk dijawab Muhyiddin mengenai status sebenar PN selepas PRN Sabah?
“Adakah kepimpinan sedia ada masih mendapat kepercayaan rakyat dan parti komponen?
Vasantha turut menegaskan bahawa Malaysia memerlukan politik matang, bukan polemik yang menambah kekeliruan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.