PN Akui Sokongan Melayu Sudah Tepu, Wawasan Jadi Jalan Ke Putrajaya

KUALA LUMPUR | 18 Ogos 26 – Perikatan Nasional (PN) mengakui sokongan dalam kalangan pengundi Melayu sudah mencapai tahap tepu, menyebabkan gabungan itu perlu mencari kelompok pengundi baharu bagi merealisasikan hasrat menawan Putrajaya.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, keadaan itu antara asas kepada penubuhan Parti Wawasan Negara sebagai strategi baharu untuk meluaskan sokongan PN, khususnya dalam kalangan bukan Melayu.

Beliau berkata, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang melihat keperluan untuk memecahkan “tembok ataupun siling” sokongan PN yang sedia ada.

“Tuan Guru melihat ada keperluan untuk kita memecah tembok ataupun siling sokongan PN itu sendiri yang sudah tepu dari kalangan pengundi Melayu,” katanya dalam podcast Kekal Tenang, baru-baru ini.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, PN mempunyai kelebihan dari segi kepercayaan pengundi Melayu sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun sokongan itu kini sukar diperluaskan.

“Kita ini insya-Allah dan Alhamdulillah diberi kelebihan oleh Allah SWT untuk mendapat kepercayaan orang Melayu sejak PR15. Alhamdulillah, malangnya benda tu sudah sampai ke satu tahap yang mana kita tak boleh nak tembus lagi dah,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya PN mahu membentuk kerajaan Persekutuan, gabungan itu memerlukan strategi berbeza dengan melengkapkan PAS menerusi sebuah parti komponen yang bersifat majmuk.

“Untuk jadi kerajaan di Putrajaya kita perlu ada satu strategi lain. Jadi antara nasihat yang diberikan oleh Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada Datuk Seri Hamzah, perlu diwujudkan sebuah parti baru untuk melengkapi PAS dalam Perikatan Nasional iaitu parti yang berbilang bangsa dan kaum,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal berkata Wawasan Negara boleh membantu PN meneroka kawasan dan kelompok pengundi yang selama ini belum menjadi kekuatan utama gabungan itu, khususnya di Pantai Barat.

“Saya nampak Perikatan Nasional dengan adanya Wawasan Negara kita boleh cuba meneroka pasaran yang lebih baru seperti di Pantai Barat yang mungkin kita ada kekuatan tapi belum cukup untuk kita benar-benar menyaingi Pakatan Harapan,” katanya.

Menurutnya, cabaran utama PN di Semenanjung ialah persepsi dalam kalangan pengundi bukan Melayu terhadap gabungan yang mempunyai PAS sebagai parti komponen.

Beliau mengambil perkembangan politik di Sabah sebagai contoh, apabila pengundi Cina boleh beralih sokongan daripada DAP kepada Warisan yang dilihat sebagai parti tempatan bersifat majmuk dan moderat.

Namun, katanya, keadaan berbeza di Semenanjung kerana persepsi terhadap PAS dan fenomena “Green Wave” masih menjadi penghalang.

“Momokkan Green Wave, DAP, dah banyak kali tanam dalam kepala pengundi-pengundi Cina khususnya, membuatkan orang-orang China dan India di Semenanjung masih belum yakin sepenuhnya dengan gabungan yang ada PAS dalamnya,” katanya.

Justeru, katanya, PN perlu mengubah kedudukan politiknya dengan bergerak sedikit ke tengah bagi mendapatkan penerimaan lebih luas.

“Kita dah di kanan, nak anjak ke tengah sedikit. Dengan cara apa? Dengan ada satu lagi parti komponen yang majmuk sifatnya,” katanya.

Beliau berkata Wawasan Negara diharapkan dapat melengkapi PAS dalam membawa naratif “membina negara bangsa yang lebih majmuk dan adil”.

Perkembangan itu menunjukkan penubuhan Wawasan Negara bukan sekadar usaha menambah satu lagi parti dalam PN, sebaliknya sebahagian daripada percaturan untuk mengatasi had sokongan Melayu dan memperluaskan pangkalan pengundi gabungan itu.

Bagi PN, persoalan utama menuju PRU16 bukan lagi sekadar bagaimana mengekalkan sokongan Melayu, tetapi bagaimana menembusi kelompok pengundi yang selama ini menjadi benteng utama PH. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share