MCA Tak Perlu Jadi Lebih Perkauman Daripada DAP Untuk Raih Undi Cina — Neow

MELAKA | 2 Okt 26 – MCA tidak perlu menjadi lebih “chauvinist” atau lebih perkauman daripada DAP semata-mata untuk mendapatkan sokongan pengundi Cina, kata Ketua Penerangan Pemuda MCA merangkap Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN), Neow Choo Seong.

Sebaliknya, beliau berkata, MCA perlu memainkan peranan sebagai jambatan perpaduan dengan membantu masyarakat berbeza kaum memahami antara satu sama lain serta menolak budaya politik yang menurutnya telah menanam sentimen perkauman.

“Kita semua ada tanggungjawab menjadi jambatan kepada perpaduan. Saya nak orang Melayu faham saya. Saya nak orang Melayu faham masyarakat saya. Bahawa orang Cina bukan biadab. Orang Cina juga mempunyai sifat toleransinya. Orang Cina juga bersifat sederhana. Orang Cina juga boleh berkompromi,” katanya.

Beliau berkata, sentimen perkauman telah tertanam dalam masyarakat akibat budaya politik yang dibawa pihak tertentu sebelum ini, yang disifatkannya sebagai budaya politik pecah dan perintah.

“Kalau saya hari ini nak menjadi lebih chauvinist, lebih racist daripada DAP, semata-mata untuk memenangi undi orang Cina, saya tidak bertanggungjawab,” katanya ketika Dialog Anak Muda & Masa Depan di Semabok Dalam, Melaka, pada 25 September lalu.

Neow berkata, walaupun dirinya diserang dan dilabel sebagai “pengkhianat” kerana cuba mendekati masyarakat Melayu, beliau tidak memasuki politik untuk membodek mana-mana kaum.

“Saya tak perlu membodek orang Melayu sebab hidup saya dah selesa. 15 tahun saya bekerja dalam sektor perkhidmatan awam. Saya faham. Saya tak perlu masuk politik hanya untuk membodek orang Melayu.

“Saya masuk politik untuk membantu supaya perpecahan kaum ini dapat diperbaiki,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia tidak mungkin bergerak maju tanpa perpaduan, selain memerlukan masyarakat Melayu yang menghormati kepelbagaian serta masyarakat Cina dan India yang menghormati kepelbagaian dan kedudukan masyarakat Melayu.

“Kita tidak boleh menolak realiti bahawa kita hidup di Malaysia. Di mana majoritinya orang Melayu Islam,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa identiti masyarakat Cina tidak seharusnya membawa kepada penolakan terhadap realiti Malaysia sebagai negara yang dihuni bersama oleh pelbagai kaum.

“Kalau hari ini saya nak menjadi lebih Cina daripada negara tanah besar Cina, then this is not the place. This is the place for all,” katanya.

Ucapan itu membawa mesej bahawa MCA mahu mengetengahkan pendekatan politik yang meletakkan perpaduan dan realiti masyarakat majmuk sebagai asas, berbanding persaingan untuk menjadi lebih ekstrem dalam mendapatkan sokongan sesuatu kelompok. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share